KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- ConocoPhillips Sabah Gas Ltd yang juga pengendali Medan Gas Kebabangan (KBB) di luar pesisir Sabah, membuat Keputusan Pelaburan Muktamad (FID) pada 21 Mei, 2026 bagi pembangunan Fasa 2 medan gas itu.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menyifatkan keputusan itu sebagai memaparkan komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia serta pelaburan berterusan di Sabah.
Jumlah pelaburan oleh rakan-rakan usaha sama yang dianggarkan RM1.3 bilion, akan menyokong usaha penggerudian telaga tambahan bagi meningkatkan pengeluaran gas, sekali gus memenuhi permintaan serta mengukuhkan keterjaminan tenaga Sabah.
Presiden ConocoPhillips Malaysia Connor Dunn berkata : "Saya amat gembira menyaksikan dalam tempoh lebih setahun syarikat ini sebagai pengendaIi, aspek kebolehpercayaan telah meningkat manakala prestasi keselamatan juga mengukuh.
“Ini menjadi bukti terhadap (dedikasi) pasukan serta sokongan padu daripada rakan-rakan sekutu syarikat.”
Medan gas KBB yang beroperasi pada 2013, terletak kira-kira 123 kilometer di luar pesisir pantai Sabah dan merupakan pembekal utama gas asli cecair (LNG) serta gas domestik negeri itu.
Pembangunan Kluster KBB adalah usaha sama antara ConocoPhillips Sabah Gas Ltd (berkepentingan 30 peratus, pengendali) manakala Petronas Carigali Sdn Bhd (40 peratus) dan Shell Energy Asia Ltd (30 peratus).
Pelaburan bagi pembangunan KBB Fasa 2 itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran, menyokong aspek keterjaminan tenaga Sabah serta terus memperkukuh pembangunan bakat tempatan dan keupayaan pembekal tempatan.
-- BERNAMA