PETALING JAYA, 4 Jun (Bernama) -- Pemain perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei percaya sistem pemarkahan baharu 3x15 yang akan diperkenalkan tahun depan, memberi kelebihan kepadanya menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan melaksanakan format yang lebih singkat itu bermula 4 Jan bagi menggantikan sistem 21 mata sedia ada.
“Tak pernah lagi main 15 mata. Bagi saya ia peraturan yang sangat baik.
“Jadi saya akan cuba menyesuaikan diri secepat mungkin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media “Goh For Gold” di sini hari ini.
Pada majlis itu, lima jenama korporat bersetuju menjadi rakan impian Jin Wei bagi menyokong perjalanannya untuk melayakan diri ke LA28.
Sementara itu, Jin Wei berkata persediaan bagi kempen kelayakan tahun depan sudah pun bermula, termasuk rancangan untuk meningkatkan kualiti sesi latihan dengan membawa masuk lebih ramai pemain luar negara untuk berlatih bersama-sama di kelabnya.
Dia juga bercadang untuk lebih selektif dalam memilih kejohanan yang disertai tahun ini sebelum meningkatkan penyertaan apabila tempoh kelayakan Olimpik bermula.
“Mungkin saya akan memilih beberapa kejohanan sahaja tahun ini, sebelum menyertai lebih banyak kejohanan tahun depan,” katanya.
Ditanya cabaran meraih semula status pemain perseorangan wanita utama negara dengan mengatasi pencabar seperti K. Letshanaa dan Wong Ling Ching dalam perebutan tiket ke Olimpik, Jin Wei menegaskan tumpuan utama adalah untuk memperbaiki prestasinya, bukan membuat perbandingan dengan pemain lain.
“Paling penting saya perlu fokus pada diri sendiri dahulu. Jika proses itu berjalan dengan baik, saya percaya kedudukan ranking akan menyusul kemudian,” katanya.
-- BERNAMA