Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Proses teknologi mitigasi iklim menerusi pelaksanaan Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Malaysia memerlukan pendekatan yang menyeluruh membabitkan agensi-agensi kerajaan, pemain industri, penyelidik dan pembiaya.
Bagi peringkat ASEAN pula, proses sedemikian memerlukan kerjasama serantau yang lebih kukuh untuk mempercepatkan penggunaannya.
Timbalan Pengarah Bahagian Ekonomi Alam Sekitar dan Sumber Asli Kementerian Ekonomi, Azral Izwan Mazlan berkata CCUS sebenarnya merentasi pelbagai sektor dan kementerian, menjadikan pembangunan serta pelaksanaan dasar yang diselaraskan amat penting untuk menyokong aspirasi pelepasan sifar bersih negara menjelang 2050.
"CCUS memerlukan pendekatan yang menyeluruh, daripada penggubalan dasar sehinggalah kepada pelaksanaan, pendidikan dan pembiayaan, serta merupakan salah satu pemacu utama yang dikenal pasti untuk penyahkarbonan bagi memenuhi aspirasi karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya.
Beliau berkata demikian di sesi dialog bertajuk “CCUS Readiness: Is ASEAN Prepared for Carbon Capture at Scale?”, sempena Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini.
Azral berkata masih terdapat jurang dalam rantaian nilai CCUS, terutamanya dari segi pemerangkapan dan penggunaan karbon, sambil menyatakan garis panduan sokongan sedang dirangka seiring dengan Akta CCUS 2025 untuk memastikan penyertaan bukan sahaja daripada korporat besar tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat tempatan.
Beliau berkata dalam hal ini, Malaysia juga memerlukan kerjasama antarabangsa untuk memajukan inisiatif CCUS memandangkan sifat industri tersebut yang berintensifkan teknologi dan memerlukan modal yang besar.
Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Penyahkarbonan dan Tenaga Boleh Baharu Tenaga Nasional Bhd (TNB) Research Noraziah Muda berkata penggunaan karbon menawarkan peluang segera sementara infrastruktur sekuestrasi karbon secara besar-besaran masih dalam peringkat pembangunan.
Beliau berkata CCUS kekal sebagai satu-satunya teknologi sedia ada yang mampu memerangkap pelepasan karbon dioksida daripada loji jana kuasa terma sedia ada, termasuk kilang berasaskan gas dan arang batu, yang dijangka terus menjadi sebahagian daripada komposisi tenaga bagi tahun-tahun mendatang.
"TNB Research mula meneroka CCUS pada 2011 dan buat masa ini kami mempunyai beberapa projek perintis dalam memerangkap karbon dioksida daripada sumber utama. Kami mempunyai beberapa pendekatan untuk penggunaan antaranya, penggunaan biologi seperti mikroalga dan ladang tanaman, serta menukarkan karbon dioksida (CO2) kepada e-bahan api seperti metana atau metanol," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat cabaran untuk pengkomersialan disebabkan oleh keperluan tenaga yang besar dalam memerangkap dan menukarkan karbon dioksida kepada produk yang boleh dipasarkan.
Pada masa hadapan, Noraziah mencadangkan penubuhan hab CCUS ASEAN untuk memudahkan perkongsian infrastruktur dan kerjasama serantau.
“ASEAN mempunyai peluang yang sangat baik untuk memulakan sesuatu; mungkin Malaysia, Indonesia dan Jepun boleh bermula dengan hab pemerangkapan dan kemudian selepas itu secara perlahan-lahan beralih kepada penggunaan serta penyimpanan CO2,” katanya.
Diadakan dari 3 hingga 5 Jun, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), ETCon26 merupakan persidangan utama anjuran TNB yang menghimpunkan pihak berkepentingan dari seluruh dunia untuk mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.
Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, persidangan ini berpaksikan kepada tiga tonggak utama iaitu Energy for AI, AI for Energy, dan Energy Transition (ET) for People, yang mencerminkan saling kebergantungan yang kian meningkat antara sistem tenaga dan teknologi digital.
-- BERNAMA