DUNIA

Sultan Ibrahim Perkukuh Keyakinan Pelabur, Kestabilan Politik - Akademik

01/06/2026 06:32 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Penglibatan proaktif Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam diplomasi ekonomi dan tadbir urus negara telah memperkukuh daya tarikan pelaburan negara, melengkapi dasar ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa, menurut seorang akademik.

Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata kepimpinan aktif Seri Paduka Baginda turut menyumbang kepada kestabilan politik dan memperkukuh tadbir urus institusi sepanjang dua tahun lalu.

Bercakap dalam program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk, Sultan Ibrahim: A Symbol of National Unity, beliau berkata ketika kerajaan memacu reformasi fiskal dan struktur, Seri Paduka Baginda memainkan peranan konstruktif dalam menambah baik iklim pelaburan Malaysia.

"Sultan Ibrahim telah memainkan peranan dalam memacu ekonomi serantau, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, sekali gus memberi jaminan kepada pelabur global tentang prospek ekonomi negara," katanya.

Menurut Khairil Azmin, Sultan Ibrahim telah mencorakkan pemerintahan Seri Paduka Baginda berteraskan tiga tonggak utama iaitu memerangi rasuah, memupuk perpaduan sosial dan mengamalkan diplomasi berorientasikan perniagaan.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong telah memperkukuh kestabilan politik sepanjang dua tahun lalu serta berfungsi sebagai institusi semak dan imbang.

Katanya, Seri Paduka Baginda telah mengubah peranan institusi beraja daripada institusi yang sebahagian besarnya pasif kepada institusi yang aktif menegakkan kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan.

Dalam tempoh yang agak singkat iaitu dua tahun, Seri Paduka Baginda telah melaksanakan tugas yang amat luar biasa dalam memastikan kerajaan bertindak selaras dengan kedua-dua prinsip berkenaan, kata Khairil Azmin.

Sultan Ibrahim melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 31 Jan 2024 dan istiadat pertabalan diadakan pada 20 Julai tahun yang sama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2563679