JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Individu Ditahan Disyaki Terlibat Pergaduhan Di Pelabuhan Klang

31/05/2026 02:15 PM

SHAH ALAM, 31 Mei (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki tempatan disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan di Flat Seri Perantau, Pelabuhan Klang, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata penahanan kesemua individu berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 4 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah berjaya menangkap lima lelaki tempatan dan kesemua tangkapan direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata punca pergaduhan masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya terus ke IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di media sosial satu video berdurasi 2 minit 41 saat memaparkan insiden pergaduhan dengan beberapa individu memegang senjata yang dipercayai berlaku di Flat Seri Perantau.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2563271