JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Empat Lelaki Dipercayai Samun Durian, Motosikal

28/06/2026 10:14 PM

JASIN, 28 Jun (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan membabitkan hasil kebun durian dan melarikan sebuah motosikal di sebuah kebun membabitkan kerugian kira-kira RM9,000 berhampiran Anjung Gapam, Bemban di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata kesemua suspek berusia 27 hingga 35 tahun itu ditahan dalam empat serbuan berasingan di Jasin, Melaka Tengah dan Masjid Tanah bermula 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi tadi.

"Hasil soal siasat mendapati dua daripada suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu, manakala seorang lagi suspek mengaku mengeluarkan sebilah pisau bagi menakutkan mangsa selepas menyedari mangsa merakam gambar kenderaan yang dinaiki suspek.

"Seorang lagi suspek pula mengaku terlibat mengambil meter motosikal yang dilarikan, namun tidak mengaku mengambil buah durian atau mengacukan senjata kepada mangsa," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Lee berkata seorang lagi suspek tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu, namun ditahan selepas dikenal pasti secara positif oleh pengadu sebagai individu yang melarikan motosikal milik bapa rakannya.

Beliau berkata siasatan turut mendapati dua daripada suspek memaklumkan mereka diajak oleh seorang lagi suspek yang masih bebas ke lokasi kejadian untuk mencuri sport rim sebelum bertindak melarikan motosikal Yamaha Y15ZR selepas melihat motosikal itu di lokasi kejadian.

"Polis turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan sebilah pisau lipat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574210