AM

KL Wellness City Bekerjasama Dengan NGO Anjur Cosplay Networking Night 2026

29/05/2026 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- JCI Kuala Lumpur, dengan kerjasama JCI Setia Alam, JCI Entrepreneur dan JCI Melaka, akan menganjurkan Cosplay Networking Night 2026 pada 8 Ogos ini susulan kejayaan acara yang diadakan buat julung-julung kali pada tahun lepas.

KL Wellness City dalam kenyataan memaklumkan acara yang akan diadakan di Andaman Grand Ballroom, di sini itu bertujuan merevolusikan rangkaian perniagaan tradisional dengan menyepadukan interaksi kreativiti dan sosial ke dalam platform dinamik.

“Acara ini direka untuk usahawan, profesional muda, pemimpin perniagaan dan kreatif, menggalakkan peserta untuk keluar daripada zon selesa mereka dan membina hubungan yang ikhlas dalam suasana yang menyeronokkan dan menarik,” menurut kenyataan itu.

Pengasas acara berkenaan Alexx Chor berkata program itu terus menerapkan falsafah “Show Up, Glow Up, Link Up”, sambil menambah bahawa aktiviti cosplay dapat membina keselesaan serta menghilangkan rasa malu dan kekok dalam kalangan peserta. 

Beliau berkata medium ini membolehkan peserta mengurangkan halangan profesional, meluahkan personaliti mereka dengan yakin dan memupuk hubungan perniagaan yang lebih mendalam dan jujur.

Sementara itu, Presiden JCI Kuala Lumpur Kong Yue Ning berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen organisasi untuk memperkasakan pemimpin muda melalui platform yang inovatif dan berimpak.

Beliau berkata Cosplay Networking Night bukan sahaja mencabar budaya rangkaian konvensional, tetapi juga mewujudkan peluang untuk kerjasama merentas industri, perkongsian strategik dan pertumbuhan keusahawanan.

Pengerusi penganjur Lee Haozhe dalam kenyataan sama berkata edisi tahun ini akan menampilkan pengalaman yang lebih menarik termasuk permainan rangkaian interaktif, persembahan pentas secara langsung, segmen hiburan dan sesi cabutan bertuah.

“Acara ini bukan sekadar perhimpunan bertema, tetapi juga ekosistem rangkaian yang ‘cekap, namun menyeronokkan’ dengan profesional dapat bertukar-tukar sumber, idea, dan peluang dalam persekitaran yang santai,” katanya.

Pengarah Eksekutif KL Wellness City Datuk Seri Dr Vincent Tiew yang menyertai edisi 2025 sebagai tetamu khas, menyokong acara berkenaan dengan menyatakan bahawa platform kreatif dapat memecahkan halangan industri sambil menggalakkan interaksi yang autentik.

Bagi mencerminkan pengaruh acara itu yang semakin meningkat, jawatankuasa penganjur terlibat secara aktif dengan organisasi, dewan perniagaan dan persatuan perniagaan untuk mengembangkan lagi jangkauan konsep rangkaian dan membina ekosistem yang lebih luas untuk kerjasama dan perkongsian sumber.

Sebagai sebahagian daripada momentum ini, KL Wellness City juga menerima pakai tema berinspirasikan cosplay untuk majlis makan malam tahunan, mencerminkan komitmennya terhadap inovasi, kreativiti dan penglibatan komuniti.

Menjelang penyiapan The Nobel Healthcare Park, KL Wellness City kini menawarkan peluang pelaburan eksklusif melalui kempen ganjaran gaya hidup, iaitu “The Golden Journey to Wellness” yang bermula pada 18 Mei.

Semasa tempoh kempen, pembeli suite perubatan, peruncitan, perniagaan dan komersial akan menikmati ganjaran eksklusif termasuk baucar perjalanan bernilai RM10,000 daripada Golden Destinations dan baucar pemeriksaan kesihatan bernilai hingga RM6,000 daripada Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIH).

JCI Kuala Lumpur ialah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang dikhususkan untuk menyediakan peluang pembangunan kepimpinan bagi golongan muda berusia 18 hingga 40 tahun, memperkasakan mereka untuk mencipta perubahan yang positif dalam komuniti.

Untuk pertanyaan tentang keahlian atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Setiausaha 2026, Serene Tan, 012-7095783 atau lawati laman Facebook rasmi JCI Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2562852