AM

Pesta Kaamatan: Makanan Halal Disediakan, Minuman Beralkohol Dilarang Di KDCA

29/05/2026 04:31 PM

KOTA KINABALU, 29 Mei (Bernama) -- Penganjur Pesta Kaamatan Sabah tahun ini memperkenalkan inisiatif “rumah pisah” mengkhususkan hidangan makanan halal, bagi memastikan keselesaan pengunjung beragama Islam di pekarangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pengenalan zon halal khas itu, membuktikan perayaan berkenaan bersifat inklusif serta milik seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama.

Timbalan Ketua Menteri I itu berkata langkah penyediaan hidangan halal yang diasingkan secara khusus itu, membolehkan penganut Islam bersama-sama menikmati suasana sambutan tanpa sebarang keraguan, sekali gus memperkukuh ikatan persaudaraan komuniti.

“Langkah maklum balas penyediaan hidangan halal yang diasingkan ini, komitmen murni penganjur untuk memastikan perayaan ini bersifat inklusif serta selamat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa sebarang keraguan,” katanya kepada Bernama.

Inisiatif tersebut dizahirkan menerusi konsep rumah terbuka yang diadakan di 15 rumah tradisi etnik di pekarangan KDCA Penampang, yang dibuka bermula 11 pagi hingga 2 petang untuk semua pengunjung. Sambutan kemuncak Pesta Kaamatan 2026 dijadual selama dua hari bermula esok.

Dr Joachim berkata inisiatif berkenaan membuktikan keunikan masyarakat Sabah yang sentiasa bertoleransi tinggi dan saling menghormati sensitiviti kaum lain, dalam setiap perayaan kebudayaan yang diraikan.

“Inilah keindahan Sabah yang sebenar, dengan perbezaan agama tidak pernah menjadi tembok untuk kita duduk semeja dan meraikan perayaan bersama-sama dalam suasana yang cukup harmoni,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk terus mengekalkan tahap toleransi yang tinggi serta sentiasa bersedia meraikan sebarang perbezaan dengan penuh keharmonian.

Dalam pada itu, pihak penganjur turut menetapkan larangan tegas terhadap penjualan minuman beralkohol import di semua rumah tradisi dan hanya membenarkan hidangan minuman tradisi tempatan, sepanjang festival kebudayaan itu berlangsung.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengekalkan keaslian sambutan perayaan, selain memastikan aspek keselamatan dan kawalan kendiri di pekarangan festival berada pada tahap terbaik.

Dr Joachim menjelaskan bahawa sepanjang tempoh sambutan, hanya minuman tradisi tempatan seperti bahar dan kinomol sahaja yang dibenarkan untuk dihidangkan kepada para pengunjung, di rumah-rumah etnik berkenaan.

“Kita tidak membenarkan alkohol import dijual demi mengekalkan keaslian suasana tradisi asli, selain mahu memastikan tahap keselamatan serta kawalan kendiri pengunjung berada pada tahap yang paling optimum sepanjang perayaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Dr Joachim menasihati puluhan ribu pengunjung yang dijangka membanjiri festival tersebut agar sentiasa mengawal diri, menjaga tingkah laku dan mengelakkan sebarang kekecohan bagi memastikan keharmonian acara terpelihara.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dan isu ketiadaan tempat letak kereta di sekitar kawasan komersial berhampiran, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan bas perantara secara percuma.

Beliau berkata kemudahan pengangkutan awam tersebut, akan beroperasi dari pusat beli-belah Imago dan Suria Sabah terus ke KDCA Penampang, bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Orang ramai disaran memanfaatkan sepenuhnya kemudahan bas perantara percuma yang disediakan, bagi melancarkan pergerakan trafik serta memberikan keselesaan sepanjang perjalanan pergi dan balik dari tapak pesta menuai itu.

“Langkah pengurusan logistik yang proaktif seperti penyediaan bas perantara ini amat disarankan untuk digunakan sepenuhnya oleh orang ramai, bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan tekanan ketiadaan tempat letak kenderaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2562725