AM

PKNS Peruntuk Hampir RM90 Juta Bangun Penempatan Baharu Orang Asli Bukit Baja

26/05/2026 02:13 PM

CYBERJAYA, 26 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan hampir RM90 juta bagi pelaksanaan penyelesaian secara kelompok bagi pembangunan dan penempatan semula Komuniti Orang Asli Bukit Baja (KOABB).

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus terbela seiring dengan pembangunan kawasan Cyber Valley.

Beliau berkata kerajaan negeri dan PKNS telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk tempoh penerokaan tanah dan tempoh komuniti berkenaan menetap di kawasan terbabit sebelum menetapkan bentuk pampasan dan penempatan semula.

"Seperti biasa yang saya sebut bahawa kepentingan masyarakat Orang Asli ini telah kita nilai sebaik mungkin, dengan kadar mereka teroka tanah, dan berapa lama mereka telah duduk di kawasan tersebut. 

"Antara fasiliti yang kita bagi, RM7,000 untuk urusan pemindahan dan perobohan rumah, sebiji rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi, dan sagu hati wang tunai RM100,000," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek kepada Pengusaha Tanah Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Baja.

Borhan berkata selain itu, pihak PKNS juga menyediakan sumbangan khas berjumlah RM3 juta untuk penubuhan Tabung Adat, Tabung Pendidikan dan Tabung Jawatankuasa Kampung, bagi kegunaan masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Baja.

Beliau berkata selain tanah, tanaman dan kebun milik penduduk turut dinilai dengan pampasan hingga RM200,000 bagi setiap ekar mengikut keluasan dan jenis tanaman.

"Saya yakin dan percaya nampaknya keseluruhan penerima hari ini ataupun daripada peringkat awal lagi, Orang Asli telah berpuas hati dengan sistem ataupun proses yang kita jalankan, kerana kita pengiraan mengikut secara adil, dan sangat-sangat berpatutan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usahasama Strategik) PKNS Md Kamarzan Md Rais dalam ucapannya berkata penempatan semula masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Baja adalah selari dengan prinsip asas PKNS iaitu pembangunan yang inklusif bagi memastikan kemajuan fizikal bergerak seiring dengan pembelaan nasib dan maruah komuniti asal.

"PKNS memahami bahawa setiap perubahan melibatkan tempat tinggal dan kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah, malah PKNS sentiasa komited memastikan kebajikan, kesejahteraan dan maruah komuniti Orang Asli terus dipelihara dengan mengambil kira pandangan, keperluan dan kebimbangan komuniti secara menyeluruh.

"PKNS akan terus bersama komuniti Kampung Orang Asli Bukit Baja dalam setiap peringkat pelaksanaan, dengan memastikan hak, keperluan dan suara komuniti sentiasa diberi perhatian," katanya.

Pada majlis itu, PKNS menyerahkan cek pembayaran pertama berjumlah 10 peratus pampasan tanah kepada 100 pengusaha Kampung Orang Asli Bukit Baja sebagai sebahagian daripada pelaksanaan proses penempatan semula komuniti berkenaan.

PKNS kini merancang membangunkan penempatan baharu Komuniti Orang Asli Kampung Bukit Baja di kawasan seluas 8.87 ekar yang dipilih sendiri oleh tok batin dan wakil komuniti terlibat.

Cadangan pembangunan itu merangkumi pembinaan 56 unit rumah sesebuah berkeluasan 1,000 kaki persegi selain kemudahan seperti balai raya, tadika, ruang rawatan, pejabat tok batin dan Jawatankuasa Pembangunan dan Pengurusan Kampung, surau serta tiga unit lot kedai.

PKNS sebelum ini turut menyerahkan cek sumbangan pampasan sebagai pembayaran fasa pertama awal sebanyak RM10,000 kepada 56 ketua isi rumah komuniti tersebut pada 25 Jan lepas.

-- BERNAMA

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561676