AM

SMP 2026: Pameran Rumah KAMI, Perkampungan Rumah Etnik Tonjol Keunikan Budaya Malaysia

13/06/2026 01:16 PM

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Pengunjung Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Negara 2026 berpeluang merasai pengalaman budaya pelbagai kaum menerusi Pameran Rumah KAMI dan Perkampungan Rumah Etnik yang menampilkan kira-kira 14 etnik dari seluruh negara.

Pameran itu membawa pengunjung menyusuri suasana berbeza dari satu ruang ke ruang lain yang menampilkan etnik seperti Murut, Kadazan, Rungus, Bajau, Bugis, Kedayan, Chetti dan Portugis yang mempunyai keunikan identiti budaya serta adat resam tersendiri.

Pengunjung turut berpeluang merasai dan menghayati kehidupan sebenar masyarakat pelbagai kaum  menerusi Perkampungan Rumah Etnik yang memaparkan struktur rumah tradisional merangkumi Rumah Melayu, Rumah Cina, Rumah India, Rumah Baba Nyonya dan Rumah Siam.

Pengarah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Sabah Rina Ab Harun berkata pameran Rumah KAMI dan perkampungan rumah etnik itu memberikan peluang kepada pengunjung mengenali kepelbagaian budaya serta warisan masyarakat di negara ini.

Bercakap kepada Bernama, Rina berkata pelaksanaan pameran berkenaan adalah selaras dengan usaha untuk mengarusperdanakan konsep ‘Faham, Hormat, Terima dan Meraikan’ sebagai teras sambutan Minggu Perpaduan bagi memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat.

“Rakyat bukan sahaja memahami latar belakang dan budaya antara satu sama lain, tetapi turut menghormati perbezaan serta menerima kepelbagaian sebagai kekuatan bersama.

“Dengan pendekatan ini, sambutan Minggu Perpaduan bukan sahaja memperkukuh jati diri nasional, malah ia juga memelihara ekosistem perpaduan negara secara lestari dan berterusan,” katanya.

Selain keunikan replika rumah etnik, Rina berkata para pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan makanan tradisional seperti Linopot, Hinava, Pinasakan, Nasi Kuning, dan Ambuyat.

Beliau berkata pengalaman kebudayaan itu turut diwarnai dengan demonstrasi pembuatan kraf warisan seperti sulaman Linangkit, anyaman ribu-ribu, tekat, wau dan pembuatan boneka kepala singa, selain demonstrasi alat permainan tradisional termasuk kompang, gendang, tabla, sape, sitar dan gong.

Guru Tabika Perpaduan Siti Hajarrima Abdul Main, 38, meluahkan perasaan teruja apabila berpeluang mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian budaya masyarakat di Semenanjung Malaysia yang dipamerkan menerusi perkampungan rumah etnik berkenaan.

Beliau berkata pengalaman itu memberikan pendedahan baharu mengenai adat dan budaya pelbagai kaum di negara ini terutama etnik jarang-jarang ditemukan di Sabah seperti Baba Nyonya.

“Ini adalah kali pertama saya melihat suasana rumah Baba Nyonya, selalunya nampak menerusi televisyen sahaja. Jadi, apabila (replika) rumah Baba Nyonya dibawa ke sini, saya dapat lihat sendiri dengan lebih dekat keadaan dan suasananya.

“Kita dapat pendedahan dan pengalaman, selain boleh mengenali serta memahami kepelbagaian budaya di Semenanjung Malaysia, apa perbezaan dengan Sabah,” katanya.

Seorang lagi pengunjung Siti Nur Aqilah Rosmat, 30, turut teruja dengan keunikan pameran Rumah KAMI dan perkampungan rumah etnik yang menghimpunkan kepelbagaian budaya dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Beliau tidak menyangka berpeluang melihat sendiri keunikan rumah etnik seperti Rumah India yang turut menampilkan pempamer lengkap berpakaian tradisional, selain kali pertama melihat suasana Rumah Siam.

“Program seperti ini sangat menarik dan penganjurannya wajar diperluas bagi memberikan pendedahan mengenai kepelbagaian etnik dan kebudayaan di Malaysia,” katanya.

Sambutan Minggu Perpaduan Negara 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara akan berlangsung selama empat hari hingga Ahad ini, bertemakan ‘Bersama Membina Negara Bangsa’.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568059