AM

Tiga Jenazah Pekerja Maut Di FSO Sepat Dituntut Keluarga

25/05/2026 04:38 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Mei (Bernama) -- Jenazah tiga pekerja perkapalan yang maut selepas bot penyelamat dinaiki mereka terjatuh ke laut di perairan Terengganu-Kelantan tengah hari semalam, telah dituntut keluarga untuk proses pengebumian.

Tinjauan Bernama di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dibawa keluar kira-kira 12.25 tengah hari untuk disolatkan di Masjid Al-Iman As-Shafie KotaSAS dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang.

Sementara jenazah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dibawa keluar kira-kira 1.40 tengah hari untuk disembahyangkan di Masjid Cenderawasih di Kuantan, Pahang dan disemadikan di perkuburan yang sama.

Jenazah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, yang berasal dari Alor Gajah, Melaka pula selesai  dibedah siasat dan dibawa pulang ke Melaka pada 2.50 petang tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, Alor Gajah.

Semalam Bernama melaporkan tiga pekerja platform minyak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat.

Mangsa yang cedera parah Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor, kini sedang menerima rawatan di HSNZ.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561332