GEORGE TOWN, 22 Mei (Bernama) -- Hasil analisis makmal terhadap sampel air dan kerang di perairan Kuala Juru, Bukit Mertajam berada pada tahap selamat serta mematuhi standard keselamatan makanan negara.
Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan ujian mendapati kandungan logam berat seperti merkuri, kadmium dan plumbum dalam sampel kerang berada di bawah had maksimum yang dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983.
"Pemeriksaan meliputi parameter logam berat, kualiti air, plankton dan biotoksin marin. Analisis biotoksin menggunakan kaedah High-Performance Liquid Chromatography (HPLC) turut merekodkan bacaan toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) pada tahap rendah dan selamat.
“Analisis mikroskopi terhadap sampel air juga mengesahkan tiada kehadiran mikroalga toksik seperti Alexandrium spp, Dinophysis spp dan Pseudo-nitzschia spp yang boleh menyebabkan fenomena air pasang merah," menurut kenyataan itu.
JPNPP turut memaklumkan bacaan ammonia dan nitrat juga didapati mematuhi Standard Kualiti Air Kebangsaan Kelas IIA bagi pemeliharaan hidupan akuatik sensitif.
Analisis berkenaan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung dengan kerjasama Pusat Biosekuriti Perikanan Kuantan dan Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor susulan aduan berkaitan pencemaran yang diterima daripada komuniti setempat.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Pulau Pinang Azimah Jumatli berkata keputusan analisis tersebut menunjukkan keadaan perairan Kuala Juru serta hasil laut di kawasan berkenaan masih berada pada tahap selamat dan terkawal.
“Orang awam tidak perlu panik kerana hasil analisis yang dijalankan mengesahkan sumber perikanan di Kuala Juru masih selamat untuk dimakan dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya.
Pada 12 Mei lepas, kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, meluahkan kebimbangan terhadap pencemaran Sungai Juru yang didakwa semakin serius sejak setahun lalu, menyebabkan lebih 50 peratus hasil pendapatan mereka terjejas.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata pencemaran disyaki berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang yang menyebabkan kematian kerang serta ikan di sungai itu.
-- BERNAMA