GAYA HIDUP

Konsert: Selepas China, Shila Amzah Sasar Lebar Sayap Ke Filipina, Thailand

18/05/2026 06:08 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Penyanyi popular Shila Amzah bakal melebarkan lagi pengaruh seninya di peringkat antarabangsa apabila Filipina dan Thailand menjadi antara destinasi terbaharu dalam perancangan siri konsert luar negaranya tahun ini.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata selain bakal mengadakan sebuah konsert solo di Malaysia pada Ogos depan, beliau dan pasukan pengurusannya sedang berbincang dengan beberapa pihak bagi merealisasikan persembahan di kedua-dua negara berkenaan.

“Selain daripada China, kami juga sedang melihat peluang (mengadakan konsert) di Filipina dan Thailand. Masih dalam perbincangan. Begitu juga dengan permintaan (adakan konsert di China dan negara lain), memang ada sahaja peminat yang minta. Alhamdulillah, itu saja yang dapat saya katakan,” katanya kepada Bernama.

pic-2

Menurut pelantun lagu Patah Seribu itu, beliau juga akan neneruskan konsert jelajah di China dengan fasa dua dan tiga hingga penghujung tahun ini susulan sambutan memberangsangkan daripada peminat di sana.

Katanya China mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam perjalanan seninya memandangkan muzik Mandarin sudah menjadi sebahagian daripada identiti dan “DNA” dirinya sejak awal pembabitan dalam industri hiburan.

“Kalau anda meminati Shila Amzah, itulah DNA saya. Menyanyikan lagu Mandarin memang sudah sebati dengan diri saya. Dalam masa sama, ada juga peminat yang mahu melihat saya membawa lebih banyak lagu Melayu dan elemen tradisional tempatan ke pentas antarabangsa termasuk di China. 

pic-3

“Namun, usaha itu memerlukan sedikit masa memandangkan saya pun baru nak menapak balik (di China),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shila berkata beliau bersyukur dengan setiap peluang yang diterima ketika ini termasuk sambutan luar biasa peminat terhadap konsert dan penampilannya di luar negara.

Katanya segala kejayaan yang dikecapi hari ini lebih bermakna kerana dapat dikongsi dengan suami dan dua anaknya yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kerjayanya.

pic-4

Penyanyi itu turut berharap perjalanan hidup dan kerjayanya mampu menjadi inspirasi kepada wanita, khususnya golongan ibu tunggal, agar tidak mudah berputus asa dalam meneruskan kehidupan.

“Kita boleh bermula kembali pada apa juga peringkat usia. Jangan rasa bila satu pintu tertutup semua pintu akan tertutup. Kita kena cari pintu mana yang terbuka untuk kita kerana rezeki Allah itu luas,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558662