KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki termasuk tiga remaja bawah umur dipercayai anggota “Geng Hadi” yang aktif dalam kegiatan curi motosikal menerusi beberapa serbuan di Kepong, Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Jasni Zolpa berkata kesemua yang ditahan berusia antara 15 hingga 33 tahun termasuk seorang remaja berusia 18 tahun bernama “Hadi” yang dipercayai ketua kumpulan terbabit.
“Mereka disyaki terlibat dalam beberapa kes curi motosikal di sekitar kawasan Sentul sejak awal tahun ini.
“Tiga suspek bawah umur itu tidak bersekolah manakala keenam-enam mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi motosikal,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas dua motosikal, lima rangka motosikal yang tidak sempurna, satu set komponen motosikal serta dua telefon bimbit.
Jasni berkata siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan beberapa jenis motosikal termasuk Honda EX5, Modenas dan Yamaha RXZ sebelum meleraikan komponen kenderaan berkenaan untuk dijual kepada pihak ketiga atau digunakan sendiri.
Kegiatan meleraikan motosikal itu, katanya dilakukan di sebuah stor kosong di Kepong sebelum rangka motosikal yang telah dileraikan dibuang ke dalam sungai berhampiran.
Beliau berkata berikutan penahanan dan rampasan itu, polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal di sekitar Sentul membabitkan kerugian dianggarkan RM20,000.
Kesemua suspek direman enam hari bermula Ahad lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA