KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Penyerang prolifik Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson da Silva bertekad untuk tidak mengulangi kekalahan pahit skuad Harimau Selatan kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) pada final Piala Malaysia 2021 menjelang pertemuan menentang Kuching City FC di sini malam esok.
Penyerang Brazil berusia 35 tahun itu berkata kekalahan kepada KL City itu memberi kesan mendalam kepada pasukan dan menjadi titik perubahan kepada JDT untuk memperbaiki identiti serta mentaliti kemenangan mereka.
“Selepas final itu, kami sangat kecewa dan benar-benar merasai kepedihan akibat kekalahan itu. Saya antara pemain yang masih mengingati hari itu sehingga hari ini.
“Selepas itu, kami berjanji sesama sendiri bahawa kami tidak akan tewas seperti itu lagi, tanpa identiti. Hari ini, saya tahu kami mempunyai identiti dan apa sahaja yang berlaku esok, kami akan cuba menampilkan identiti kami,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Bergson berkata kekalahan pada 2021 itu menjadi pengajaran penting buat JDT untuk terus memperbaiki diri, sambil mengekalkan corak permainan yang menjadi kekuatan pasukan.
Beliau berkata JDT tidak lagi mengalami kekalahan dalam mana-mana perlawanan akhir sejak itu dan berharap pasukan berkenaan dapat mengekalkan momentum serta identiti mereka pada masa akan datang.
Untuk rekod, JDT tewas 0-2 kepada KL City pada final Piala Malaysia 2021.
JDT memburu gelaran Piala Malaysia keenam selepas menjuarai pertandingan itu pada 2017, 2019, 2022, 2023 dan musim 2024/2025 manakala Kuching City FC yang dibimbing Aidil Sharin Sahak berpeluang mencipta sejarah dengan menjulang trofi itu buat kali pertama.
Perlawanan esok akan dikendalikan oleh empat pegawai perlawanan berprofil tinggi dari Qatar sebagai sebahagian daripada usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memastikan standard pengadilan berada pada tahap tertinggi, selaras dengan reputasi kejohanan bola sepak tertua dan paling berprestij di Malaysia itu.
Bergson ketika mengulas mengenai pelantikan berkenaan berkata JDT melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif untuk permainan.
“Ia sentiasa baik untuk kami apabila mempunyai peluang meningkatkan tahap permainan kami, termasuk bersama para pengadil... bagi kami, kelebihan adalah kekal bersatu dan menjadi satu pasukan. Seperti yang saya katakan, kami tidak perlu banyak bercakap. Kami hanya perlu menjalankan tugas dan cuba membawa pulang trofi itu,” katanya.
-- BERNAMA