Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 22 Mei (Bernama) -- Kunjungan rasmi delegasi Bank Pembangunan Asia (ADB) ke Labuan membuktikan tumpuan terhadap kedudukan strategik pulau bebas cukai berkenaan sebagai pangkalan sokongan luar pesisir minyak dan gas (O&G), pusat kewangan antarabangsa serta gerbang maritim.
Delegasi ADB yang diketuai oleh Ketua Pengarah Bahagian Asia Tenggara Nianshan Zhang, mengunjungi beberapa institusi dan kemudahan ekonomi utama, termasuk termasuk pelabuhan kontena kendalian Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), Labuan Corporation (LC) atau Perbadanan Labuan, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) dan Dewan Perniagaan Labuan.
Kumpulan itu turut disertai oleh Pakar Kanan Negara ADB Gary Krishnan serta Timbalan Pengarah Negara ADB Indonesia Said Zaidansyah.
Pada sesi taklimat, pihak LC berkongsi mengenai Pembangunan Ekonomi Labuan yang merangkumi landskap ekonomi, keutamaan pembangunan, keperluan pelaburan dan sektor pertumbuhan utama.
Nianshan menyifatkan lawatan itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelami landskap ekonomi serta bidang kerjasama yang berpotensi membabitkan Labuan.
ADB juga, katanya, akan membuka pejabat rasminya di Kuala Lumpur pada tahun ini untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan Malaysia selain meninjau bidang yang boleh membabitkan sokongan ADB dalam pembangunan utama, termasuk pertumbuhan ekonomi, infrastruktur, kemampanan sera kesalinghubungan serantau.
Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong berkata nadi utama pertumbuhan ekonomi Labuan kekal dipacu oleh perkhidmatan O&G dan aktiviti berkaitan perkhidmatan kewangan.
Pada masa sama, Pelabuhan Labuan kekal menjadi gerbang ekonomi pulau itu dengan kira-kira 70 peratus daripada jumlah kendalian kargo merangkumi bahan berkaitan O&G manakala selebihnya melibatkan barangan pengguna makanan, bukan makanan serta bahan binaan.
“Pelabuhan itu juga berperanan sebagai gerbang maritim penting yang menyokong peranan pulau itu sebagai hab perkhidmatan luar pesisir O&G serta Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC).
“Selain kontena dan kargo am, pelabuhan itu juga menyokong aktiviti penyimpanan kapal, logistik bekalan luar pesisir, perkhidmatan pembekalan bahan api kapal dan persinggahan kapal persiaran,” katanya.
Pada masa sama, Tiong berkata usaha memperkukuh ekosistem pelabuhan Labuan juga amat penting dalam meningkatkan daya saing pulau itu yang terus menyokong operasi luar pesisir di perairan Sabah dan rantau di sekitarnya.
Timbalan Pengerusi LC Simsudin Sidek berkata Labuan memerlukan penyertaan pelaburan asing yang lebih ketara untuk mempercepatkan lagi pembangunan berikutan kekangan kewangan yang dihadapi pihak berkuasa itu.
Menurutnya, LC berperanan penting dalam memudah cara aktiviti perniagaan serta menyokong pelaburan domestik dan asing bag memastikan cadangan pembangunan itu mendapat sokongan dari segi panduan sewajarnya, diselaraskan dan sejajar dengan hala tuju ekonomi jangka panjang Labuan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LC Fadzilah Mahmud berkata cadangan Jambatan Labuan masih dalam proses kajian teknikal dan sebaik selesai November ini, ADB boleh mempertimbang untuk memberi kemudahan kewangan kepada kontraktor yang dilantik.
-- BERNAMA