DUNIA

Xi, Zardari Bertukar Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun Ke-75 Hubungan Diplomatik China-Pakistan

22/05/2026 01:09 PM

BEIJING, 22 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Pakistan Asif Ali Zardari pada Khamis bertukar ucapan tahniah sempena ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Dalam perutusannya, Xi berkata China dan Pakistan merupakan sahabat serta rakan kongsi yang baik, dengan kedua-dua negara bukan sahaja dihubungkan oleh gunung dan sungai, malah sentiasa bersama dalam susah dan senang.

Beliau berkata sejak hubungan diplomatik dijalin 75 tahun lalu, persahabatan China-Pakistan terus diperkukuh meskipun landskap dunia mengalami banyak perubahan.

Xi berkata kedua-dua negara mengekalkan tahap kepercayaan politik, kerjasama praktikal, kerjasama keselamatan dan kolaborasi antarabangsa pada taraf tinggi untuk jangka masa panjang, sekali gus menjadi contoh baik dalam hubungan antara negara.

Xi menegaskan bahawa beliau amat mementingkan perkembangan hubungan China-Pakistan, dan bersedia berganding bahu dengan Presiden Zardari untuk memperkukuh komunikasi strategik, meneruskan persahabatan tradisional, mempergiat kerjasama dalam segenap aspek, serta mempercepat pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Pakistan yang lebih erat, supaya memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, serta menyumbang kepada keamanan dan pembangunan serantau.

Sementara itu, Zardari berkata Pakistan memuji inisiatif global yang digagaskan Xi serta menghargai komitmen beliau dalam memperkukuh hubungan kedua-dua negara dan mewujudkan komuniti berkongsi nasib Pakistan-China.

Zardari berkata Pakistan juga amat menghargai sokongan China terhadap negaranya dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah, selain pembangunan ekonomi dan masyarakat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560221