IPOH, 22 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak terus memperkukuh agenda pembangunan bandar pintar atau smart city menerusi lawatan teknikal ke Taopu Smart City di Shanghai, China bagi meninjau pelaksanaan teknologi serta sistem pengurusan bandar bersepadu yang berpotensi diaplikasikan di negeri itu.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam kenyataan memaklumkan delegasi Perak diketuai Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan disertai Datuk Bandar Ipoh Zamakhshari Hanipah.
MBI memaklumkan lawatan itu bertujuan melihat dengan lebih dekat pelaksanaan pembangunan bandar pintar, khususnya dalam aspek digital twin, Internet kebendaan, sistem command centre dan pengurusan bandar secara masa nyata.
“Taopu Smart City ialah kawasan pembangunan semula bandar di Shanghai yang dahulunya berasaskan kawasan industri sebelum ditransformasikan menjadi sebuah daerah pintar moden yang menggabungkan perancangan fizikal, teknologi digital, pengurusan bangunan, pemantauan keselamatan, kecekapan tenaga dan operasi bandar secara bersepadu.
“Pendekatan Taopu Smart City memberi gambaran bagaimana sebuah kawasan bandar dapat diurus secara lebih cekap melalui penggunaan data, sensor pintar dan sistem pemantauan berpusat, sekali gus menjadi rujukan penting dalam pembangunan ekosistem bandar pintar yang lebih matang dan mampan,” menurut kenyataan itu.
MBI memaklumkan perkongsian dan pengalaman diperoleh melalui lawatan itu amat relevan kepada agenda pembangunan bandar pintar Perak, khususnya dalam memperkukuh peranan Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC) yang telah dibangunkan pada peringkat bandar.
Pada masa sama, perkongsian dan pengalaman itu juga menjadi rujukan awal kepada persediaan kerajaan negeri dalam membangunkan Perak State Command Centre.
“Pembangunan State Command Centre ini penting sebagai platform bersepadu untuk menyokong pemantauan operasi, penyelarasan data, tindak balas rentas agensi dan pembuatan keputusan yang lebih pantas serta berasaskan maklumat.
“Kerajaan Negeri Perak komited untuk terus meneroka pendekatan baharu dalam meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, penyampaian perkhidmatan awam dan kualiti hidup rakyat melalui pemanfaatan teknologi serta kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA