AM

Inisiatif Bantuan Bilik Guru Kerajaan Johor Hadiah Bermakna Buat Warga Pendidik

22/05/2026 11:39 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 22 Mei (Bernama) -- Inisiatif kerajaan negeri menyalurkan bantuan penambahbaikan bilik guru disifatkan sebagai hadiah bermakna buat warga pendidik dalam usaha mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa dan kondusif.

Rata-rata guru menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif berkenaan yang bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka, malah dilihat selari dengan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memperkasakan persekitaran berkualiti.

Peruntukan RM5,000 yang disalurkan sejak empat tahun lepas itu jelas menunjukkan limpahan kemajuan dan pembangunan ekonomi negeri turut dirasai warga pendidik, sekali gus mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan mereka yang menjadi antara tunjang penting pembangunan pendidikan negara.

Inisiatif itu antaranya dimanfaatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini bagi menambah baik fasiliti termasuk mentransformasikan pantri menjadi ruangan rehat santai bertemakan perkelahan.

Ruangan berkenaan yang dihiasi dengan konsep lebih moden turut dilengkapi meja dan kerusi baharu serta televisyen pintar yang pastinya akan membuatkan sesiapa sahaja terpegun melihatnya.

Pengetua SMK Bandar Baru Uda Azliza Mat Lazim berkata bantuan berkenaan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor pendidikan malah menjadi penghargaan bermakna kepada 120 guru yang berkhidmat di sekolah berkenaan dengan jumlah pelajar hampir 1,600 orang.

Beliau berkata kesejahteraan fizikal dan mental merupakan antara aspek yang perlu sentiasa diberi perhatian dengan suasana tempat kerja yang lebih kondusif mampu membantu meningkatkan motivasi serta semangat warga pendidik.

“Sebenarnya ruang rehat guru ini mempunyai impak yang besar kerana guru memerlukan ruang untuk menenangkan diri kerana jadual sangat padat. Justeru, bantuan yang diberikan ini dapat memastikan ruang rehat dapat ditambah baik, sekali gus menyuntik semangat mereka” katanya kepada Bernama.

Penolong Kanan Pentadbiran Mohd Razi Mat Yeeh berkata ruangan berkenaan yang telah diperindah bukan sahaja dapat digunakan guru sebagai tempat melepaskan lelah, tetapi juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai program seperti majlis perpisahan.

“Saya sebagai guru sememangnya gembira kerana ada satu amalan baik di sekolah, misal kata ada majlis perpisahan tidak perlu dibuat di luar, memadai guna ruangan ini tanpa keluar kos lagi,” katanya.

Pengerusi Kelab Bilik Guru Rohiza Amin yang juga guru subjek Reka Bentuk dan Teknologi pula berharap dan berbesar hati sekiranya kerajaan negeri meneruskan pemberian bantuan itu sebagai sokongan kepada KPM dalam menambah baik kemudahan sekolah.

SMK Sri Rahmat yang terletak kira-kira lima kilometer dari sekolah berkenaan turut memperindah ruang guru mereka dengan pembelian meja dan perabot baharu, sementara pantri dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk mesin penapis air bagi memastikan keselesaan warga pendidik terus terjaga.

Pengetuanya Shakira Irfah Abdullah berkata setiap penambahbaikan yang dilakukan adalah berdasarkan keperluan dan kehendak guru supaya fasiliti yang disediakan benar-benar dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Sekolah ini besar dan terdapat banyak bangunan dengan kapasiti guru 118 orang, mereka ditempatkan di dua blok bilik guru. Justeru, bantuan yang diberikan diagihkan kepada bilik guru yang memerlukan termasuk Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),” katanya yang menjelaskan terdapat 1,976 pelajar di sekolah itu.

Shakira Irfah berkata bantuan yang terus diberikan termasuk pada tahun ini sekali gus menjadi hadiah bermakna buat para guru sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.

Guru subjek Reka Bentuk dan Teknologi Zainal Zakaria berkata suasana ceria sekali gus memberikan kebahagiaan yang sedikit sebanyak mendorong semangat pendidik dalam menjalankan tugas di kelas.

“Guru lebih bermotivasi dan bersemangat, selain akan memberikan keselesaan dan produktif dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin dilaporkan berkata bantuan RM5,000 itu disalurkan kepada 1,195 buah sekolah secara konsisten selama empat tahun berturut-turut dengan peruntukan secara keseluruhan tahun ini berjumlah RM5.975 juta.

Beliau berkata inisiatif berkenaan membawa perubahan positif dan transformasi bilik guru bagi memastikan warga pendidik menjalankan tugas dengan keadaan yang lebih selesa dan kondusif.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560155