EKONOMI

UDA Lancar Residensi Mutiara, Kediaman Terap Ciri Lestari

20/05/2026 05:34 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mei (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA), peneraju hartanah dan pengurusan aset, melancarkan projek perumahan terbaharu, Residensi Mutiara yang menerapkan ciri-ciri pembangunan lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata projek itu mencerminkan usaha berterusan dalam membangunkan kediaman yang relevan dengan keperluan semasa, di samping memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk memiliki kediaman berkualiti pada harga kompetitif.

Katanya projek yang dijangka siap pada Jun 2029 itu merupakan antara yang menerapkan ciri-ciri pembangunan lestari selaras dengan amalan Agenda Pembangunan Mampan (SDG). 

“Ini termasuk penggunaan lampu jalan solar, sistem solar fotovoltaik (PV) dan tangki tadahan air hujan di rumah kelab serta tandas cekap air dan pili jimat air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fuaad berkata projek dengan 50 unit pada harga bermula RM548,700 itu mengetengahkan konsep eksklusif, fleksibiliti ruang dan gaya hidup komuniti moden menerusi reka bentuk dan susun atur ruang yang praktikal serta luas.

Beliau berkata projek itu menawarkan dua jenis kediaman iaitu rumah bandar dua tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta rumah bandar tiga tingkat dengan tiga bilik tidur dan empat bilik air, berstatus pegangan kekal dan berkeluasan antara 1,259 dan 3,627 kaki persegi.

“Kita juga menawarkan persekitaran komuniti berpagar dan berpengawal 24 jam, selain dilengkapi kemudahan seperti dewan komuniti yang mempunyai ruang kafe, bilik aktiviti serta ruang pelbagai guna,” katanya.

Menurutnya, kediaman itu turut dilengkapi elemen taman mesra keluarga serta ruang dalaman yang menyokong interaksi dan kebersamaan, di samping mengetengahkan potensi konsep dwi-kunci, bersesuaian bagi keluarga besar atau adik-beradik yang ingin tinggal berdekatan dengan mengekalkan akses dan ruang masing-masing. 

Pada masa yang sama, projek yang turut direka bagi memenuhi keperluan golongan profesional dan keluarga muda ini juga berhampiran dengan beberapa laluan utama sekali gus menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang bekerja di Singapura.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menyediakan pelbagai tawaran menarik yang dirangka khusus untuk membantu pembeli memiliki kediaman ini dengan lebih mudah, termasuk bayaran pendahuluan serendah RM1,000 atau dua peratus, pengecualian yuran guaman dan duti setem serta skim pembayaran yang fleksibel bagi menampung perbezaan pinjaman bank.

Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my atau ikuti UDA Holdings Bhd di Instagram (@uda_official) dan Facebook (UDA Holdings Bhd).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559542