DUNIA

Hubungan Rusia-China Pada "Tahap Tertinggi" Susulan Lonjakan Perdagangan Dua Hala - Putin

20/05/2026 07:02 PM

MOSCOW, 20 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Rusia Vladimir Putin berkata pada Rabu bahawa hubungan antara Rusia dan China mencapai “tahap tertinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini”, manakala perdagangan dua hala meningkat lebih 30 kali ganda sepanjang tempoh 25 tahun lalu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Berucap pada pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China di Beijing, Putin menyifatkan Presiden China Xi Jinping sebagai “sahabat karib”, sambil memetik peribahasa China bahawa “jika sahabat tidak bertemu dalam sehari, ia terasa seperti tiga musim luruh telah berlalu.”

Putin berkata demikian pada pembukaan rundingan di Dewan Fujian, Dewan Besar Rakyat bahawa hubungan Rusia-China kini berada pada “tahap tertinggi yang belum pernah berlaku” dan menjadi “model perkongsian.”

“Dalam konteks krisis di Asia Barat, Rusia terus mengekalkan peranannya sebagai pembekal sumber yang boleh dipercayai, manakala China kekal sebagai pengguna sumber yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut mengesahkan hasrat untuk menghadiri Sidang Kemuncak APEC 2026 di bandar selatan China, Shenzhen pada November 2026 dan menjemput Xi melawat Rusia tahun depan.

Menurut Putin, Moscow dan Beijing terus memperjuangkan “kepelbagaian budaya dan tamadun” serta menghormati laluan pembangunan berdaulat setiap negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559629