DUNIA

Singapura Sumbang US$12 Juta Untuk CEPI, Sokong Kesiapsiagaan Pandemik Global

20/05/2026 03:46 PM

Daripada Anas Hassan

SINGAPURA, 20 Mei (Bernama) -- Singapura berikrar untuk menyumbang US$12 juta (US$1=RM3.97) dalam tempoh empat tahun kepada Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI), sebagai menyokong kesiapsiagaan wabak global, menurut Kementerian Kesihatan.

Kementerian berkenaan dalam kenyataan memaklumkan sumbangan itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semasa sela acara CEPI pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 di Geneva, Switzerland.

Komitmen itu menegaskan semula kepentingan kerjasama dalam memajukan kesihatan global memandangkan vaksin merupakan garis pertahanan kritikal terhadap wabak penyakit berjangkit dan pandemik.

"Sebagai rakan kongsi CEPI sejak 2020, sumbangan berterusan Singapura menyokong usaha global untuk membangunkan dan mengeluarkan vaksin secara pantas dan saksama terhadap ancaman masa depan.

"Sumbangan terbaharu Singapura adalah hingga selepas 2027 hingga 2030 dan merupakan kesinambungan daripada sumbangan awal kami kepada CEPI," menurut kementerian itu pada Selasa.

Menurut Ong, Singapura telah melabur secara berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin selain keupayaan dan kapasiti pembuatan.

“Kerjasama kami dengan CEPI telah memperdalam keupayaan sendiri, termasuk dalam penglibatan nasihat saintifik, kesediaan kawal selia, penyelidikan dan pembangunan serta kerjasama pembuatan, sambil membolehkan kami terus menyumbang secara bermakna terhadap usaha global yang lebih luas ini," tambahnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559440