EKONOMI

TIV Industri Automotif Melonjak 14 Peratus Kepada 72,113 Unit Dalam April

19/05/2026 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Industri automotif Malaysia merekodkan lonjakan 14 peratus dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 72,113 kenderaan pada April 2026 berbanding bulan sebelumnya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata jumlah itu mencerminkan pertumbuhan dua bulan berturut-turut.

“Peningkatan TIV pada April 2026 telah dipacu oleh volum pengeluaran yang lebih tinggi sebanyak 70, 611 unit pada bulan berkenaan selepas penutupan kilang Raya pada Mac 2026 dan jualan daripada pelancaran model baharu,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Pengeluaran menokok 25 peratus kepada 70, 611 unit pada April 2026 daripada 56,602 unit.

Sementara itu, untuk tempoh Januari-April 2026, jualan naik dua peratus kepada 254,318 unit berbanding 250,239 unit yang dicatatkan dalam tempoh empat bulan yang sama tahun lepas.

Pengeluaran susut dua peratus kepada 229,988 unit daripada 234,205 unit pada suku yang sama 2025.

Mengenai unjuran Mei, MAA menjangkakan jualan akan mengekalkan momentum semasa.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559095