KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran enam pegawai kanannya melibatkan pelbagai jawatan, berkuat kuasa bulan depan.
Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP Julina Salehuddin berkata mendahului senarai pertukaran ialah Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Datuk Dennis Lim Kwang Keng yang dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu dengan memangku pangkat CP berkuat kuasa 20 Jun.
Selain itu, beliau berkata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat akan dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Terengganu.
“Pertukaran turut melibatkan Ketua Jabatan KDNKA Terengganu ACP Azrul Hisham Mohd Shaffei yang akan menggantikan Raub sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Supt Syamsul Sinring akan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kulim, manakala Ketua Bahagian Pengurusan Langkawi DSP Mohamad Sani Mat Ali akan mengisi jawatan Ketua Polis Daerah Bandar Baharu dengan memangku pangkat Supt.
Sementara itu, Julina berkata Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Klang Selatan DSP Ramzi Mahmudin akan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Selama.
Pelantikan berkenaan berkuat kuasa 22 Jun.
-- BERNAMA