JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Curi Kabel TM Tumpas, Lima Lelaki Ditahan

19/05/2026 06:08 PM

IPOH, 19 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket curi kabel milik Telekom Malaysia Bhd (TM) selepas menahan lima lelaki dalam operasi rondaan pencegahan jenayah di Taiping, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abd Malek Ismail berkata kesemua suspek berusia antara 35 hingga 39 tahun itu ditahan kira-kira 7.30 pagi oleh sepasukan anggota Unit MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

"Ketika rondaan dijalankan, pihak polis terserempak dengan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan yang dipercayai sedang melakukan kerja-kerja mencuri kabel bawah tanah milik TM.

“Hasil tindakan pantas pihak polis berjaya membawa kepada penahanan lima lelaki warga tempatan serta merampas sebuah lori jenis Daihatsu Delta V57A berwarna merah dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Malek berkata ketika serbuan, dua daripada suspek didapati sedang memotong kabel TM manakala tiga lagi sedang mengangkat kabel tersebut ke dalam lori.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri kabel TM di sekitar daerah Taiping dengan menyasarkan kabel bawah tanah sebagai modus operandi utama dan polis kini sedang mengesan beberapa lagi ahli kumpulan yang dipercayai masih bebas bagi membantu siasatan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559058