EKONOMI

Pemaju Berimpak Tinggi Akan Terima Sokongan Lebih Kukuh Kerajaan - Mohd Shahar

19/05/2026 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pemaju yang melaksanakan projek memberikan pulangan sosial dan alam sekitar yang kukuh serta seiring dengan keutamaan serantau akan menerima sokongan kerajaan yang lebih kuat, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Menurutnya kelebihan ini termasuk kelulusan lebih pantas, penyelarasan infrastruktur dan akses yang lebih baik terhadap kemudahan pembiayaan di bawah pembaharuan sektor pembinaan yang akan datang, yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mohd Shahar berkata kerajaan akan menjalankan kajian reformasi sektor pembinaan yang merangkumi keseluruhan kitaran projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh serta meningkatkan keupayaan dan kapasiti industri pembinaan negara.

“Kajian ini bertujuan untuk menstruktur semula sektor ini melalui penubuhan rangka kerja kawal selia dan perundangan yang lebih komprehensif meliputi pembinaan, pengurusan aset, infrastruktur dan perkhidmatan pembinaan profesional,” katanya.

Mohd Shahar berkata demikian dalam ucaptama beliau bertajuk ‘RMK13 dan Keadaan Ekonomi - Impak Terhadap Industri Pembinaan dan Hartanah sebagai Pemacu Pertumbuhan,’ yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Hartanah dan Pembinaan Malaysia 2026 di sini hari ini.

Mengulas mengenai industri pembinaan dan hartanah dalam RMK13, beliau berkata industri itu perlu menangani isu ketidaksepadanan perumahan mampu milik berikutan Malaysia mempunyai sebanyak 32,801 unit kediaman siap tetapi tidak terjual bernilai RM16.37 bilion sehingga suku pertama 2026.

“Pasaran memberikan isyarat yang jelas kepada kita. Ketidaksepadanan itu bukan terhadap permintaan. Ketidaksepadanan berlaku dari segi rumah yang dibina berbanding kemampuan sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Disebabkan itu reformasi dalam perumahan menjadi antara keutamaan dalam RMK13 bagi menangani kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembangunan pemangkin dan pengimbangan semula wilayah iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, projek mega-kesalinghubungan seperti Laluan Rel Pantai Timur, Lebuhraya Pan Borneo dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang.

"Melalui kerangka ukuran baharu kami, projek berkenaan akan dinilai bukan sahaja dari segi sumbangan ekonomi malah integrasi ruang, impak sosial, jejak alam sekitar dan tadbir urus," kata Mohd Shahar.

Menurutnya kerajaan kekal komited untuk memperkukuh penerapan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) melalui penyediaan persekitaran kerja, kemudahan dan latihan yang kondusif menjelang Julai 2026.

Inisiatif berkenaan antara lain, bertujuan untuk mengurangkan konflik reka bentuk ke arah mencapai pelaksanaan projek pembinaan negara yang lebih cekap dan berkualiti tinggi.

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama awam-swasta (PPP) akan diperkukuh merangkumi penyediaan perumahan mampu milik, pembangunan semula bandar lama, pembangunan berorientasikan transit di sekitar laluan rel serta pembangunan semula kawasan terbiar.

"PPP adalah penting dan bukannya pilihan. Apabila ruang fiskal di peringkat persekutuan semakin terhad, modal dan pelaksanaan daripada swasta perlu memainkan peranan besar untuk menampung lebih banyak projek pembangunan.

“Langkah ini bukan bererti kerajaan berundur daripada peranannya; ini adalah penyelarasan semula,” katanya.

Mohd Shahar turut mencadangkan kepada Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia dan kalangan kontraktor supaya melabur bersama-sama kerajaan untuk meningkatkan kemahiran profesional pembinaan di Malaysia, terutama dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, program peningkatan kemahiran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia serta latihan berkaitan Sistem Binaan Berindustri.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558895