KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan pembaharuan di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) telah menjana penjimatan lebih RM2.72 bilion dalam kos kawal selia sejak 2024, melalui 1,171 projek berdaftar yang melibatkan penambahbaikan proses dan reformasi birokrasi.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pencapaian itu jelas memperlihatkan bahawa reformasi tadbir urus bukan sekadar retorik, sebaliknya telah membuahkan hasil melalui pengurangan kos, kelulusan lebih pantas, peningkatan daya saing serta pengukuhan keyakinan awam.
“Reformasi yang diperkenalkan di bawah ARPA dikenal pasti sebagai faktor penyumbang melalui peningkatan kecekapan institusi, pengukuhan penyampaian perkhidmatan, pendigitalan serta reformasi tadbir urus. Ini memberikan isyarat kukuh kepada pelabur bahawa Malaysia serius dalam reformasi dan daya saing.
“Reformasi itu juga sedang membentuk Malaysia yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur,” katanya dalam ucaptama pada Sesi Meja Bulat bersama dewan perniagaan, di sini hari ini.
Beliau berkata sistem e-Penghulu telah membantu mengurangkan tempoh proses pendaftaran bantuan bencana dan permohonan eKasih daripada satu jam kepada hanya lima minit.
Shamsul Azri berkata reformasi dalam pengurusan permit pembinaan di Majlis Perbandaran Kulim, Kedah telah mengurangkan tempoh kelulusan daripada 24 bulan kepada 10 bulan melalui sistem E10, manakala di Majlis Perbandaran Kulai, Johor pula tempoh proses dikurangkan daripada 24 bulan kepada 14 bulan.
“Kedua-dua inisiatif itu menyumbang secara signifikan kepada peningkatan nilai pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan penjanaan hasil bagi pihak berkuasa tempatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) untuk semua pegawai pengawal dan ketua setiausaha.
“Setakat Dis 2025, prestasi pelaksanaan projek meningkat sebanyak 122 peratus, projek sakit berkurangan 45 peratus, projek lewat menurun 16 peratus, manakala isu berkaitan ‘kelemahan perancangan’ berjaya diselesaikan hingga 98 peratus,” katanya.
Pada peringkat kerajaan tempatan, beliau berkata Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya telah meningkatkan kecekapan pemprosesan pelan dengan mengurangkan tempoh kelulusan daripada 10 hari kepada hanya empat jam, manakala Majlis Perbandaran Alor Gajah mempercepat pembaharuan lesen perniagaan daripada satu hari kepada kelulusan serta-merta.
Shamsul Azri berkata kecemerlangan dalam tadbir urus tidak mampu dicapai oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan whole-of-nation, yang melibatkan sektor awam dan swasta, komuniti perniagaan, masyarakat sivil, akademia serta orang ramai.
Beliau berkata negara seperti Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Taiwan, New Zealand, Australia, United Kingdom dan Kanada telah berjaya mengguna pakai model tadbir urus bersepadu bagi memperkukuh penyelarasan dasar, menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan keberkesanan institusi dalam menangani cabaran yang semakin kompleks.
“Di Malaysia, komitmen itu dizahirkan melalui ARPA yang mengguna pakai pendekatan whole-of-nation dan bersepadu sebagai tonggak utama dalam memperkukuh tadbir urus, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta memperkasakan pentadbiran awam yang lebih cekap, telus dan berteraskan rakyat,” katanya.
Beliau turut menggesa komuniti perniagaan memainkan peranan lebih besar dalam membentuk tadbir urus yang lebih kukuh serta memupuk persepsi positif terhadap Malaysia, khususnya dalam aspek urusan komersial, budaya pematuhan, tadbir urus korporat dan amalan perniagaan beretika.
Shamsul Azri berkata kerajaan mengalu-alukan maklum balas konstruktif serta kerjasama daripada dewan perniagaan dan pemain industri bagi menambah baik dasar serta pelaksanaan.
Dalam pada itu, beliau berkata aspirasi Malaysia untuk menjadi antara 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030 adalah realistik dan mampu dicapai.
Malaysia mencatatkan peningkatan dalam CPI 2025, dengan skor meningkat dua mata kepada 52 untuk menduduki tempat ke-54 pada peringkat global, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negara terhadap reformasi.
-- BERNAMA