SHAH ALAM, 20 Mei (Bernama) -- Seorang pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ditemukan maut, selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Vista Alam, Seksyen 14, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar yang mengesahkan perkara itu berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada kira-kira 3.07 awal pagi tadi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sementara menunggu hasil bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli berkata pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
-- BERNAMA