AM

Bernama Perlu Terus Jadi Sumber Berita Diyakini Dalam Era AI - KPE

19/05/2026 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu terus mendukung etika kewartawanan dan memastikan setiap kandungan dihasilkan berasaskan fakta yang sahih, benar serta tepat, khususnya dalam era digital yang berdepan cabaran kecerdasan buatan (AI) dan deepfake.

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata Bernama, yang kini mencecah usia 59 tahun, perlu terus relevan sebagai sumber berita yang diyakini dan dipercayai di Malaysia.

"Pada era digital khususnya zaman AI, deepfake dan sebagainya, sebagai wartawan kita perlu lebih berwaspada dan berhati-hati, selain memastikan sumber yang digunakan adalah dipercayai dan sahih seperti yang sentiasa didukung Bernama.

"Jadi saya berharap dan sering menekankan kepada warga kerja, khususnya di Jabatan Pengarang supaya terus mendukung etika kewartawanan serta memastikan kandungan dan karya yang dihasilkan adalah sahih, benar, betul serta tepat faktanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Bernama ke-59 di Lobi Wisma Bernama di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson, Ketua Perkhidmatan Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain dan Ketua Komersial Mastura Hassan.

Nur-ul Afida berkata usia 59 tahun bukan sahaja menggambarkan perjalanan jauh Bernama sebagai agensi berita nasional, malah kematangan warga kerjanya dalam melaksanakan amanah kewartawanan.

"Bernama mencecah usia 59 tahun dan angka ini sebenarnya menggambarkan perjalanan kami yang begitu jauh serta mematangkan seluruh warga kerjanya. 

"Saya percaya pada usia tersebut, dengan kebanyakan warga kerja Bernama telah berkhidmat melebihi 30 tahun, ia mencerminkan komitmen, dedikasi dan kesungguhan untuk terus bertugas dengan cemerlang demi memastikan Bernama kekal relevan serta menjadi sumber berita yang diyakini dan dipercayai di Malaysia,” katanya.

Beliau, yang telah berkhidmat selama 40 tahun bersama Bernama, turut menzahirkan harapan agar generasi muda agensi berita itu meneruskan kecemerlangan sedia ada.

"Saya melihat perkembangan yang telah dilalui Bernama dan saya mendoakan agar warga kerja Bernama pada masa akan datang, khususnya generasi muda dapat meneruskan kecemerlangan kami serta menjadikan agensi berita ini lebih unggul dan relevan,” katanya.

Sambutan pada hari ini diserikan dengan acara memotong kek oleh Wong dan Nur-ul Afida, selain sesi bergambar bersama warga kerja Bernama.

Sebanyak lapan kek, satu pulut kuning dan kira-kira 700 kek cawan disediakan sempena sambutan itu yang dihadiri petugas daripada pelbagai jabatan.

Ruang pameran khas turut menampilkan lapan panel berkaitan sejarah penubuhan, evolusi bangunan Wisma Bernama, perkhidmatan, pencapaian organisasi, barisan kepimpinan terdahulu serta pindaan Akta Bernama.

Pameran itu turut menampilkan empat buku, iaitu “From A Rented Bungalow: The BERNAMA Story”, Ties That Bind”, Perpaduan Asas Keharmonian Malaysia, dan Estetika: “Soulful Aesthetics Mosques of Selangor.

Bernama kini mempunyai 967 petugas terdiri daripada warga kerja tetap, kontrak dan sambilan.

Agensi berita itu ditubuhkan di bawah Akta Bernama 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan perkhidmatan teks berita sebelum berkembang kepada perkhidmatan foto, radio, televisyen dan media digital.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558873