LONDON, 18 Mei (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Britain Keir Starmer pada Isnin berkata beliau berhasrat bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dan menolak spekulasi bahawa tempohnya memegang jawatan semakin hampir ke penghujung, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada pemberita semasa lawatan ke barat laut London, Starmer berkata beliau kekal memberi tumpuan terhadap tanggungjawabnya sebagai perdana menteri dan pemimpin Parti Buruh.
“Tidak, kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditanya sama ada tempohnya sebagai perdana menteri secara efektif sudah berada di penghujung.
“Saya amat memberi tumpuan kepada apa yang saya anggap sebagai tanggungjawab dan kewajipan saya, iaitu terhadap negara,” tambahnya.
Beliau berkata tugas pertama selepas kekalahan pilihan raya ialah “memulihkan keadaan” dan memastikan tumpuannya kekal “di landasan yang betul”.
Starmer turut berkata beliau berhasrat untuk terus memegang jawatan bagi satu lagi penggal.
“Saya memang mahu bertanding dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditanya sama ada beliau masih merancang untuk meneruskan hasrat mendapatkan penggal kedua selama lima tahun sebagai perdana menteri.
“Saya tidak tahu sudah berapa kali saya katakan bahawa saya tidak akan berundur,” tegasnya lagi.
Perdana menteri Britain itu turut menolak untuk menetapkan garis masa bagi pengundurannya dari Downing Street sekiranya Datuk Bandar Greater Manchester Andy Burnham memenangi pilihan raya kecil Makerfield bulan depan.
Minggu lalu, Jawatankuasa Eksekutif Nasional Parti Buruh mengundi untuk membenarkan Burnham bertanding sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil yang dijangka diadakan.
Langkah itu dibuat selepas anggota Parlimen Parti Buruh Josh Simons mengumumkan pada Khamis bahawa beliau akan meletakkan jawatan bagi mencetuskan pilihan raya kecil dan membuka laluan kepada kemungkinan Burnham kembali ke Parlimen.
Burnham perlu terlebih dahulu dipilih sebagai calon Parti Buruh tempatan sebelum memenangi kerusi itu bagi melayakkannya mencabar kepimpinan parti.
Jika dipilih ke Parlimen, Burnham memerlukan sokongan 81 anggota Parlimen Parti Buruh -- bersamaan 20 peratus daripada 403 anggota Parlimen parti itu -- bagi mencetuskan pertandingan kepimpinan.
Sebagai perdana menteri dan pemimpin Parti Buruh sedia ada, Starmer secara automatik akan tersenarai dalam undian sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding dalam mana-mana pemilihan kepimpinan pada masa depan. Beliau juga akan kekal sebagai perdana menteri sepanjang proses itu.
-- BERNAMA-ANADOLU