POLITIK

PH Negeri Sembilan Ingatkan Rakan Politik Jangan Khianati Kepercayaan

17/05/2026 03:40 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memberi peringatan kepada rakan kerjasama politik agar tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan gabungan itu bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa.

Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tindakan segelintir pihak membuat keputusan secara sebelah pihak tanpa melalui proses permuafakatan telah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan kepimpinan PH negeri.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata PH sebelum ini telah menunjukkan komitmen kerjasama politik dengan menyerahkan kerusi yang dimenangi untuk ditandingi rakan gabungan, namun kepercayaan itu didakwa dikhianati.

“Inilah penghormatan kita kepada mereka. Satu Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita menang, kita beri kepada mereka untuk bertanding dan mereka menang, tiba-tiba mereka khianati kita. Pengajaran ini cukup bermakna bagi kita,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

Walaupun berdepan situasi itu, Aminuddin berkata PH Negeri Sembilan akan terus berpegang kepada disiplin parti dan akur terhadap setiap keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi gabungan demi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan terus terpelihara.

Beliau berkata PH Negeri Sembilan sentiasa mengutamakan kestabilan politik, namun tidak menolak kemungkinan berdepan PRN lebih awal sekiranya keadaan memerlukan.

“Kita sentiasa mengutamakan kestabilan politik tetapi apabila ‘kapal’ ditebuk, kami berasa kecewa. Kami juga mempunyai perasaan. Hari ini pentas kita, kita sentiasa bersedia untuk mendepani pilihan raya akan datang pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari berkata PH kini berada pada landasan tepat untuk mendapatkan mandat lebih besar bagi penggal kedua pentadbiran meskipun beberapa dasar kerajaan dilihat tidak popular.

Beliau berkata langkah seperti penyasaran subsidi merupakan keputusan sukar tetapi bertanggungjawab, dengan penjimatan yang diperoleh disalurkan semula kepada rakyat melalui program Sumbangan Asas Rahmah dan Sumbangan Tunai Rahmah.

Konvensyen PH 2026 bertemakan “Tekad MADANI, Harapan Rakyat” menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan dari seluruh negara, dengan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat utama pada sebelah petang.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558191