AM

Projek JS-SEZ Terjemah Kejayaan Ekonomi Kerajaan MADANI Di Johor - Saifuddin Nasution

17/05/2026 04:15 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi bukti keberkesanan strategi Kerajaan MADANI dalam menterjemah kemakmuran ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada negeri dan rakyat.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek unik hasil kerjasama dua negara itu telah berjaya menarik pelaburan besar, merangkumi 66 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Johor dalam tempoh setahun ini.

Saifuddin Nasution berkata bagi menyokong pertumbuhan wilayah ekonomi tersebut, kerajaan memberikan penekanan serius terhadap aspek ketersambungan dan mobiliti di pintu masuk negara bagi memastikan ia tidak lagi terikat dengan kaedah pengurusan lama yang usang.

“Kita gantikan sistem usang dari segi pengurusan sempadan, kita segerakan program perolehan, bina sistem yang baru, letakkan infrastruktur yang paling canggih, kemudian kita menunggu sahaja pelaksanaannya secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata langkah menangani kesesakan di Tambak Johor, Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar kini menjadi keutamaan jawatankuasa Kabinet bagi memastikan kelancaran pergerakan orang dan barangan.

“Pintu masuk Johor-Singapura yang hari ini adalah pintu masuk paling sibuk di dunia, (jadi) kita tak boleh lagi terikat dengan sistem usang ataupun kaedah lama menguruskannya,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata pemilihan Johor sebagai lokasi penganjuran konvensyen berkenaan adalah bagi membugar kembali semangat jentera memandangkan negeri itu antara yang bakal menempuh pilihan raya dalam masa terdekat.

Segala mesej yang dibangkitkan oleh perwakilan sepanjang konvensyen itu, katanya akan dijadikan panduan oleh Majlis Presiden dalam menentukan strategi serta hala tuju politik gabungan itu.

Beliau turut mengingatkan jentera supaya memainkan peranan aktif dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan kepada rakyat bagi mengelak wujudnya jurang antara kejayaan pentadbiran dengan kefahaman di peringkat akar umbi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558201