SUKAN

Kuching Raih Slot Ke ACL2, Tamatkan Saingan Liga Super Di Tempat Kedua

18/05/2026 12:28 AM

KUCHING, 17 Mei (Bernama) -- Kuching City FC menamatkan saingan Liga Super musim 2025/2026 selaku naib juara selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 1-0 pada aksi terakhir di Stadium Negeri di sini malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Cats mengumpul 53 mata hasil 16 kemenangan dan lima keputusan seri, sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila layak beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2026/2027.

Ribuan penyokong skuad The Cats yang memenuhi Stadium Negeri turut bersorak meraikan kejayaan membanggakan yang menamatkan penantian selama 10 tahun untuk melihat pasukan berkenaan kembali bersaing di pentas Asia.

Pada aksi malam ini, pasukan tuan rumah memperoleh gol tunggal kemenangan pada minit ke-28 menerusi rembatan Jerome Mpacko Etame selepas memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol lawan.

Memasuki babak kedua, Kuala Lumpur City FC menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan, namun pertahanan kemas Kuching City FC berjaya mengekang setiap percubaan pasukan pelawat sebelum keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Di PETALING JAYA, Selangor FC berpesta gol apabila membelasah PDRM FC 6-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kenduri gol skuad Gergasi Merah bermula seawal minit kelapan menerusi jaringan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Pemain import Selangor Alvin Fortes kemudiannya meledak dua gol masing-masing pada minit ke-27 dan ke-29 sebelum Mukhairi melebarkan jurang gol pada minit-minit akhir babak pertama untuk tuan rumah selesa mendahului 4-0.

Memasuki babak kedua, Selangor menambah derita PDRM apabila Muhammad Alif Izwan Yuslan meledakkan gol kelima pada minit ke-53.

Mukhairi Ajmal melengkapkan hatrik pada aksi itu menerusi jaringan pada minit ke-89 untuk Selangor FC menutup saingan Liga Super musim ini dengan kemenangan 6-0.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak cukup untuk melayakkan Selangor FC ke saingan ACL2 apabila menamatkan kempen musim ini di tempat ketiga, hanya satu mata di belakang Kuching City FC.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558337