JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) perlu mengutamakan penjenamaan gabungan itu atas nama “PH” berbanding membawa identiti parti masing-masing bagi memperkukuh kelangsungan politik serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut.
Pendekatan itu dilihat penting khususnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Perkara itu merupakan antara yang disuarakan perwakilan PH negeri ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 perwakilan dan ahli parti sempena Konvensyen PH 2026 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, hari ini.
Pengerusi Amanah yang juga merupakan Pengerusi PH Kelantan Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor berkata kekuatan gabungan itu tidak seharusnya dilambangkan menerusi bendera parti semata-mata, sebaliknya melalui kesetiaan dan kesatuan setiap anggota parti komponen.
"Rakyat sedang melihat kita. Jika kita bergerak secara berasingan...PKR dengan caranya, DAP dengan caranya dan Amanah dengan caranya maka kita akan dilihat sebagai sebuah gabungan yang tidak bersama.
"Sebab itu penjenamaan yang harus kita tonjolkan adalah 'Pakatan Harapan', bukan lagi hanya menonjolkan PKR atau Amanah secara sendirian. Kita mesti satukan hati dan buang segala perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain," katanya ketika berucap pada konvensyen itu.
Pengerusi DAP Kedah Tan Kok Yew yang turut senada mencadangkan agar gabungan itu mengambil pendekatan mengangkat calon PRN dan PRU16 akan datang atas dasar 'calon PH' yang merentas kepentingan kepartian, kaum serta agama.
Beliau berkata dominasi sesuatu kerusi dan meletakkan calon bertanding atas kapasiti sesebuah parti komponen semata-mata bukan lagi formula terbaik untuk meraih kemenangan pada pilihan raya akan datang.
"Dalam hal ini, PH perlu berani memecahkan tembok politik identiti dan politik sektoral kerana pola fikir Gen Z dan Alpha ke atas tidak lagi sama dengan pola fikir old school (lama/lapuk)," katanya.
Sementara itu Pengerusi PKR Sarawak Ahmad Nazib Johari berkata parti itu perlu terus bekerja keras untuk meyakinkan rakyat bahawa gabungan tersebut pilihan terbaik dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan masa depan negeri.
Katanya, rakyat Sarawak kini dapat melihat kemampuan Kerajaan Persekutuan mentadbir negara dengan lebih baik, termasuk dalam usaha mengangkat pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sementara itu perwakilan PH Perak Dr Fakhruldin Mohd Hashim berkata dalam mendepani PRN dan PRU akan datang gabungan parti itu perlu membawa naratif bahawa PH pilihan yang tepat demi kestabilan politik dan membawa visi yang jelas serta berinspirasi.
“Kita perlu konsisten dengan naratif nasional yang diwarnai dengan pembangunan negeri, fokus pada isu tempatan dan keperluan rakyat serta menolak politik kebencian dan perpecahan sebaliknya, menjulang politik perpaduan dan rahmah.
“Tiada parti boleh bergerak sendirian, perpaduan antara parti komponen bukan pilihan tetapi keperluan. Kalau kita terlalu sibuk bertelagah sesama sendiri, rakyat akan menghukum kita. Rakyat hari ini sudah penat dengan politik gaduh, rakyat mahu penyelesaian,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan semua parti komponen dalam gabungan PH untuk meletakkan lebih ramai calon wanita dalam siri pilihan raya umum dan negeri akan datang bagi memastikan suara wanita tidak sekadar menjadi pelengkap kuota.
Konvensyen PH 2026 yang bertemakan "Tekad MADANI, Harapan Rakyat", menghimpunkan kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan dari seluruh negara..
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada sebelah petang.
Antara pemimpin yang akan turut memberi ucapan ialah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
-- BERNAMA