DUNIA

Ketua PBB Sambut Baik Lanjutan Gencatan Senjata Lubnan-Israel

17/05/2026 09:44 AM

ISTANBUL, 17 Mei (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Sabtu menyambut baik lanjutan gencatan senjata antara Lubnan dan Israel susulan rundingan yang diperantarakan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Setiausaha Agung menyambut baik pengumuman lanjutan tempoh penghentian permusuhan selama 45 hari, susulan rundingan antara Israel dan Lubnan dengan pengantaraan AS,” menurut pejabat akhbar PBB dalam satu nota kepada wartawan.

“Beliau menegaskan semula sokongan PBB terhadap semua usaha untuk menamatkan permusuhan dan mengurangkan penderitaan komuniti di kedua-dua belah Garisan Biru.”

Guterres menggesa semua pihak berkaitan supaya “menghormati sepenuhnya penghentian permusuhan, menghentikan sebarang serangan lanjut dan mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, pada setiap masa.”

Kenyataan itu dibuat selepas AS pada Jumaat mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan akan dilanjutkan selama 45 hari susulan rundingan yang disifatkan Washington sebagai “amat produktif” antara kedua-dua pihak.

“Penghentian permusuhan yang bermula pada 16 April akan dilanjutkan selama 45 hari bagi membolehkan kemajuan selanjutnya dicapai,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Tommy Pigott menerusi platform media sosial X.

Pengumuman itu dibuat di sebalik serangan berterusan Israel di Lubnan sejak gencatan senjata yang diperantarakan oleh AS berkuat kuasa.

Ia susulan pusingan ketiga rundingan yang dimudah cara AS di Jabatan Negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2558048