DUNIA

Trump Puji Sidang Kemuncak ‘Terbesar’ Bersama Xi, Rundingan Tumpu Perdagangan, Isu Iran

14/05/2026 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Reuters) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyifatkan Presiden China Xi Jinping sebagai sahabat dan pemimpin hebat ketika kedua-dua pemimpin memulakan rundingan dua hari di Beijing pada Khamis.

Perbincangan antara kedua-dua pihak dijangka tertumpu kepada isu perdagangan, perang Iran dan penjualan senjata AS kepada Taiwan.

Lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertama seorang Presiden AS yang sedang berkhidmat ke China sejak kunjungan Trump pada 2017 ketika penggal pentadbirannya sebelum ini.

Turut menyertai lawatan itu ialah beberapa tokoh korporat utama AS yang mahu menyelesaikan isu perdagangan dan perniagaan dengan China, termasuk Elon Musk serta Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang.

Trump sebelum ini berkata permintaan pertamanya kepada Xi adalah supaya China “membuka” lebih banyak ruang kepada industri AS.

Sidang kemuncak penuh istiadat itu bermula di Dewan Besar Rakyat di Beijing apabila Xi menyambut Trump di atas permaidani merah, dengan kedua-dua pemimpin berjabat tangan dan tersenyum mesra.

Tentera China berkawad sambil diiringi lagu revolusi, manakala murid sekolah yang mengibarkan bendera AS dan China bersorak ketika kedua-dua pemimpin berjalan melepasi mereka.

“Anda seorang pemimpin hebat. Kadang-kadang orang tidak suka saya mengatakannya, tetapi saya tetap mengatakannya.

“Ada pihak mengatakan ini mungkin sidang kemuncak terbesar yang pernah diadakan. Satu penghormatan untuk bersama anda dan menjadi sahabat anda. 

"Hubungan antara China dan AS akan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini,” kata Trump kepada Xi di hadapan delegasi kedua-dua negara.

Xi pula memberitahu Trump bahawa kejayaan sesebuah negara harus dilihat sebagai peluang kepada negara lain, manakala hubungan yang stabil antara Beijing dan Washington membawa manfaat kepada dunia.

"Apabila kita bekerjasama, kedua-dua pihak mendapat manfaat; apabila kita berkonfrontasi antara satu sama lain, kedua-dua pihak menderita," kata Xi.     

 

DINAMIK HUBUNGAN BERUBAH

 

Penganalisis melihat dinamik hubungan antara Washington dan Beijing kini berubah berbanding lawatan Trump pada 2017 apabila China berusaha memberi layanan istimewa kepada Trump dan membeli barangan AS bernilai berbilion dolar, kata penasihat kanan hubungan AS-China di International Crisis Group, Ali Wyne.

Ketika itu, “China cuba meyakinkan Amerika Syarikat tentang kedudukannya yang semakin meningkat... Kali ini, Amerika Syarikat sendiri, tanpa diminta mengiktiraf kedudukan itu,” kata Wyne.

Beliau merujuk kepada tindakan Trump menghidupkan semula istilah “G2”, merujuk kepada dua kuasa besar, ketika bertemu Xi di luar Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan pada Oktober.

Pertemuan minggu ini akan memberi ruang yang luas kepada kedua-dua pemimpin untuk berinteraksi. 

Selepas rundingan di Dewan Besar Rakyat, mereka dijadual melawat Tapak Warisan UNESCO, Temple of Heaven dan menghadiri jamuan negara pada Khamis, sebelum minum teh dan makan tengah hari bersama pada Jumaat, menurut Rumah Putih.

Trump memasuki rundingan itu dalam keadaan tertekan selepas mahkamah AS mengehadkan keupayaannya mengenakan tarif terhadap China dan negara lain.

Konflik Iran turut meningkatkan inflasi domestik dan menambah tekanan politik terhadap Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal November ini.

Walaupun ekonomi China turut perlahan, Xi dilihat tidak menghadapi tekanan politik atau ekonomi setanding Trump.

Namun kedua-dua pihak dilihat mahu mengekalkan gencatan perdagangan yang dicapai Oktober lalu, apabila Trump menggantung tarif tinggi terhadap barangan China dan Beijing pula mengendurkan sekatan eksport nadir bumi.

Selain perdagangan, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelaburan, kecerdasan buatan serta usaha mengekalkan kestabilan ekonomi global.

Washington mahu meningkatkan eksport pesawat Boeing, produk pertanian dan tenaga ke China bagi mengurangkan defisit perdagangan, manakala Beijing berharap AS melonggarkan sekatan terhadap eksport cip dan teknologi semikonduktor canggih, kata pegawai yang terlibat dalam perancangan itu.

 

ISU IRAN DAN TAIWAN JADI TUMPUAN

 

Selain hal ehwal perdagangan, Trump juga dijangka menggesa China memainkan peranan lebih aktif memujuk Iran mencapai perjanjian dengan Washington bagi menamatkan konflik semasa.

Bagaimanapun, penganalisis meragui Beijing bersedia memberi tekanan besar terhadap Tehran memandangkan Iran dianggap rakan strategik penting kepada China.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio memberitahu Fox News di atas pesawat Air Force One bahawa adalah menjadi kepentingan China untuk membantu menyelesaikan krisis itu, memandangkan banyak kapalnya terkandas di Teluk dan kelembapan ekonomi global akan menjejaskan pengeksport China.

Pada masa sama, isu penjualan senjata AS kepada Taiwan dijangka menjadi antara fokus utama Xi.

China sekali lagi menegaskan bantahan terhadap cadangan pakej penjualan senjata AS bernilai US$14 bilion kepada Taiwan yang masih menunggu kelulusan Trump.

“Trump sebenarnya tidak mempunyai banyak kad untuk dimainkan. Tetapi saya tidak fikir Trump melihat keadaan itu sedemikian.

“Saya tidak fikir Trump akan membiarkan Beijing meminta apa sahaja yang mereka mahu dan kemudian AS membuat sebarang konsesi yang diminta Beijing," kata penolong felo penyelidik di Academia Sinica Taiwan, Ronan Fu.

Xi dijangka mengadakan lawatan balas ke AS akhir tahun ini, yang akan menjadi kunjungan pertamanya ke negara itu sejak Trump kembali memegang jawatan pada 2025.

-- REUTERS

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556860