Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Penganjuran Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) 2026 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 28 Mei hingga 28 Jun ini membuka peluang kepada orang ramai menikmati pengalaman muzik orkestra secara percuma.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL Naquib Hamdan berkata penganjuran FOKL itu bertujuan mendekatkan muzik orkestra dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Acara FOKL yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya adalah antara usaha kami merakyatkan muzik khususnya orkestra dan merapatkan jurang tidak kira pangkat, umur ataupun bangsa,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penganjuran dua edisi terdahulu menunjukkan sambutan positif dengan kehadiran ramai golongan muda termasuk generasi Z, menyaksikan persembahan orkestra secara langsung.
“Sejak siri pertama diadakan, banyak sokongan kami terima termasuk daripada guru-guru yang mahu membawa pelajar mereka menyaksikan persembahan berprestij supaya tidak terlepas pengalaman berharga tersebut,” katanya, menambah setiap persembahan berlangsung selama sejam 30 minit.
pic-2
Naquib berkata selain Auditorium DBKL, FOKL tahun ini diperluaskan ke beberapa lokasi lain termasuk The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) dan Auditorium Muzium Negara, dengan sebahagian persembahan diadakan secara berbayar bagi tujuan kutipan dana serta menampung kos operasi.
Beliau berkata edisi kali ini melibatkan lebih 2,000 penyertaan termasuk kumpulan orkestra dari Thailand, Jepun, Filipina, Singapura dan China, selain kumpulan tempatan seperti Orkestra Kuala Lumpur, Kuala Lumpur Youth Orchestra, Malaysian Philharmonic Youth Orchestra dan Orkestra RTM.
Beliau berkata antara persembahan dijangka mencuri tumpuan ialah persembahan kumpulan orkestra dari Jepun yang menampilkan pelbagai jenis instrumen termasuk saksofon bersaiz besar yang jarang disaksikan di Malaysia.
-- BERNAMA