KUALA TERENGGANU, 16 Mei (Bernama) -- Seorang wanita kerugian sebanyak RM55,334 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 11 Mei lepas, mangsa yang berusia 33 tahun telah menghubungi suspek bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan iklan menjana pendapatan sampingan yang dilihat dalam Instagram.
Beliau berkata suspek wanita yang mengaku sebagai mentor pentadbiran di sebuah syarikat telah memperkenalkan beberapa pakej pekerjaan sambilan kepada mangsa dengan kadar komisen yang lumayan.
"Tugasan itu hanya memerlukan mangsa membuat pengesahan produk pada platform digital melalui pautan yang diberikan suspek. Mangsa telah menyiapkan tiga tugasan awal dan berjaya mendapat upah sebanyak RM1,176.
"Suspek membuat tawaran agar mangsa menaikkan pakej keahlian bagi mendapatkan kadar upah atau komisen lebih tinggi. Bagaimanapun tugasan tersebut perlu dilakukan secara berkumpulan dalam aplikasi Telegram yang dipantau oleh suspek lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa yang juga penjawat awam telah membuat bayaran sebanyak RM3,350 untuk mendapatkan tugasan berkenaan, namun gagal mendapat komisen dijanjikan kerana didakwa tersilap membuat pengesahan produk.
Beliau berkata susulan itu, suspek mengarahkan agar mangsa membayar sebanyak RM16,450 bagi membetulkan kesilapan tersebut bagi membolehkan semua ahli kumpulan mendapat komisen sebanyak RM32,000 yang dijanjikan.
"Seorang ahli kumpulan mangsa mengaku sebagai suri rumah dan mempunyai anak yang sedang sakit tenat. Mangsa yang bimbang kesilapannya akan menyusahkan ahli kumpulan lain telah membuat bayaran seperti diarahkan," katanya.
Azli berkata bagaimanapun suspek kemudiannya memaklumkan bahawa kadar komisen kumpulan mangsa telah meningkat kepada RM440,000.
Bagaimanapun, untuk mengeluarkan wang itu mangsa perlu membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak lapan peratus.
"Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM35,534 ke dua akaun berbeza pada 12 dan 15 Mei lepas menggunakan wang simpanannya.
"Mangsa menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang dari akaun digital yang diberi suspek. Dia kemudiannya membuat laporan polis pada 8.12 malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA