PASARAN

Ringgit Dijangka Diniagakan RM3.94–RM3.96 Berbanding Dolar AS Minggu Depan

16/05/2026 10:23 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara RM3.94 dan RM3.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata setakat ini, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dengan permintaan domestik dan luaran terus mendorong pertumbuhan kepada 5.4 peratus, ia lebih baik daripada anggaran awal sebanyak 5.3 peratus.

“Bagaimanapun, separuh kedua tahun ini akan menjadi lebih kritikal sekiranya perang di Iran dan sekatan di Selat Hormuz berterusan,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan dalam persekitaran keadaan pasaran buruh yang menggalakkan dan sokongan dasar berterusan.

Aktiviti pelaburan dikekalkan oleh perbelanjaan untuk jentera dan peralatan, pelaburan struktur, dan pelaksanaan projek beberapa tahun akan datang.

Bank pusat berkata penggunaan swasta berkembang sebanyak 4.7 peratus pada suku pertama 2026, manakala pelaburan swasta meningkat 7.8 peratus, dan eksport bersih melonjak 13.5 peratus dalam persekitaran pertumbuhan eksport yang stabil dan penyederhanaan import lebih pantas.

Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 3.9515/9580 pada Jumaat berbanding 3.9185/9230 minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, unit tempatan diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama pada minggu ini.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.2749/2835 daripada 5.3354/3416, meningkat meningkat berbanding euro kepada 4.5948/6024 daripada 4.6121/6174, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.4927/4968 daripada 2.5010/5040.

Mata wang tempatan juga diniagakan kebanyakannya meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0871/0927 daripada 3.0910/0948, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0989/1247 daripada 12.1640/1844, melonjak berbanding rupiah Indonesia kepada 224.5/225.0 daripada 225.4/225.7 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.41 daripada 6.46/6.47.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557693