JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kenal Pasti Pelajar Perempuan Terlibat Pergaduhan Di Bedong

15/05/2026 05:56 PM

SUNGAI PETANI, 15 Mei (Bernama) -- Polis mengenal pasti terdapat enam hingga 10 pelajar perempuan terlibat dalam insiden pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di Bedong, yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kejadian membabitkan pelajar tingkatan satu hingga empat dengan siasatan awal mendapati hanya dua hingga tiga pelajar terlibat secara langsung dalam pergaduhan itu.

“Setakat ini enam pelajar telah dikenal pasti dan polis sedang meneliti beberapa lagi rakaman video bagi mengenal pasti individu lain yang berada di lokasi semasa kejadian.

“Kesemua mereka akan dipanggil ke balai polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan atau reman dibuat setakat ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Hanyan berkata penelitian terhadap rakaman video tular mendapati beberapa pelajar di situ cuba meleraikan pergaduhan namun ia menimbulkan persepsi semua yang berada di lokasi turut terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata siasatan mendapati pergaduhan tidak melibatkan penggunaan senjata dan tiada kecederaan serius dilaporkan.

“Polis membuka tujuh kertas siasatan berkaitan kes itu yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di media sosial antara beberapa pelajar,” katanya.

Hanyan menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dan memberi polis ruang menjalankan siasatan.

Sebelum ini, video yang memaparkan insiden pergaduhan beberapa pelajar perempuan di hadapan sebuah sekolah dipercayai berlaku antara 1 tengah hari hingga 2 petang Rabu lepas tular di media sosial.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2557468