EKONOMI

MTDC Perkukuh Laluan Pertumbuhan Syarikat Teknologi Menerusi R2G 2026

14/05/2026 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sedang memperkukuh akses industri dan laluan pertumbuhan bagi syarikat-syarikat teknologi menerusi inisiatif Road To Growth (R2G) 2026 Wilayah Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohammad Hazani Hassan berkata R2G 2026 Wilayah Tengah dirangka membantu syarikat-syarikat untuk meneroka kerjasama, akses pembiayaan, padanan perniagaan dan peluang pasaran dalam persekitaran yang lebih praktikal serta berorientasikan keberhasilan.

“Kami mahu memperkukuh kedudukan sebagai rakan teknologi pilihan yang mempunyai pengalaman dan sokongan ekosistem untuk membantu syarikat berkembang, membesar serta membawa inovasi ke pasaran.

“Kami percaya bahawa kami tidak boleh bekerja secara bersendirian dan memerlukan ekosistem sokongan yang kukuh melibatkan agensi, inovator, pelabur dan pemain industri bagi membantu membangunkan syarikat teknologi tempatan,” katanya pada majlis pelancaran R2G 2026 Wilayah Tengah di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan dan tawaran MTDC dengan menyasarkan syarikat pemula niaga, inovator, syarikat teknologi, pembeli korporat, pelabur, pengawal selia dan penyedia perkhidmatan profesional termasuk firma guaman, juruaudit serta perunding alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

MTDC juga melancarkan MTDC SPHERE iaitu sebuah platform digital yang direka untuk memperkukuh penglibatan syarikat dengan ekosistem sokongan mereka melalui akses yang lebih lancar kepada khidmat nasihat, pembangunan keupayaan, laluan pembiayaan dan peluang pasaran.

“Pengenalan MTDC SPHERE menambah satu lagi lapisan kepada sokongan ekosistem MTDC yang lebih luas selain mencerminkan usaha kami yang lebih menyeluruh dalam membantu syarikat-syarikat Malaysia berkembang serta bersaing dalam persekitaran yang lebih terhubung, responsif dan dipacu oleh keberhasilan,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara MTDC dengan Planworth Global Factoring Sdn Bhd yang menjalinkan kerjasama strategik bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui penambahbaikan akses kepada modal kerja serta kemudahan pembiayaan.

Kerjasama ini bertujuan memperkukuh kebolehcapaian pembiayaan bagi syarikat-syarikat yang layak di bawah ekosistem MTDC melalui penyelesaian seperti pemfaktoran invois dan pembiayaan pesanan belian.

Selain platform penglibatan seperti R2G 2026 Wilayah Tengah, MTDC terus memacu pertumbuhan melalui portfolio inisiatif pembiayaan dan ekosistemnya termasuk Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), Dana Permulaan Perniagaan (BSF), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF), Dana Pembangunan Teknologi Halal dan Dana Quantum MTDC-Tradeview yang menggabungkan penyertaan sektor swasta dengan modal awam.

“Inisiatif bersasar seperti MTDC Connect yang diketengahkan dalam R2G 2026 Wilayah Tengah menyediakan laluan penglibatan yang lebih bertumpu dengan menghubungkan syarikat secara langsung kepada perkhidmatan, kepakaran khidmat nasihat dan sokongan ekosistem MTDC.

“Bagi edisi kali ini, inisiatif berkenaan selaras dengan agenda Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Tempatan (MySTI) bagi menyokong syarikat-syarikat dalam mengakses pembangunan keupayaan, laluan pembiayaan serta peluang dalam saluran perolehan kerajaan,” tambahnya.

-- BERNAMA 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556796