JOHOR BAHRU, 14 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 43 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi di enam premis sekitar Muar bermula 9 pagi hingga 10 malam, Selasa lepas.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata kesemua ditahan terdiri daripada 37 lelaki, empat wanita dan dua remaja perempuan dari Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Nepal, China dan Indonesia, yang berusia lingkungan 14 hingga 62 tahun.
Beliau berkata operasi melibatkan pemeriksaan di beberapa lokasi tumpuan termasuk kilang perabot dan kediaman yang dijadikan penempatan pekerja asing.
"Ketika operasi dijalankan, suasana menjadi kecoh apabila sebahagian daripada mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam kilang, namun tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menutup semua laluan keluar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA