PETALING JAYA, 14 Mei (Bernama) -- Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska di Bandar Kinrara, Puchong, awal bulan ini.
Balqish Mohammad Dzyhan, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
Tiada pengakuan direkodkan daripada wanita itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Eiden Faheem Mohammed Nor Syafiq di sebuah taska di Kinrara Commercial Unit, Bandar Kinrara, Puchong, dekat sini antara 9.30 pagi hingga 10.40 pagi, pada 5 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Athirah Jamalullail manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.
Turut hadir pada prosiding itu peguam pemerhati bagi pihak keluarga, Nur Syakirah Nor Azam Shah.
-- BERNAMA