Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid
KAZAN, 13 Mei (Bernama) -- Russia berusaha memperluas kerjasama ekonomi dengan Malaysia dan ASEAN dalam sektor seperti pembuatan jentera, pembangunan perindustrian, pertanian dan industri halal di Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-17 ‘Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2026’ bermula 12 hingga 17 Mei.
Ketua Agensi Pembangunan Pelaburan Republik Tatarstan Taliya Minullina berkata Malaysia kekal antara negara peserta forum itu, dengan entiti Malaysia terlibat dalam beberapa acara sampingan dan program perniagaan.
Beliau berkata Dewan Perniagaan Malaysia adalah antara penganjur segmen pertunjukan fesyen antarabangsa forum itu, dan Malaysia turut mengambil bahagian dalam acara berkaitan kulinari, termasuk pertandingan cef.
“Kami mempunyai delegasi yang besar dari Malaysia,” katanya pada taklimat pra-forum.
Menteri Kebudayaan Tatarstan Irada Ayupova, Timbalan Pengerusi ‘Russia-Dunia Islam’ Strategic Vision Group Marat Gatin dan Ketua Pengarah Direktorat Sukan dan Projek Sosial Maksim Denisov turut hadir pada acara tersebut.
Kazan yang terletak lebih 830 kilometer dari Moscow, adalah ibu negeri Republik Tatarstan. Ia juga merupakan pusat perindustrian, komersial dan budaya.
Sehingga 2022, Tatarstan mempunyai seramai 3.9 juta penduduk, dengan lebih separuh daripadanya beragama Islam. Ia mempunyai lebih 70 kumpulan etnik.
Selain itu, Tatarstan memiliki lebih 150 pengeluar produk halal, dengan kira-kira 20 syarikat yang memberi tumpuan kepada eksport.
Eksport utamanya ialah petroleum bertapis (US$4.28 bilion) (US$1=RM4.28), petroleum mentah (US$3.84 bilion), getah sintetik (US$1.06 bilion) dan baja nitrogen (US$202 juta).
Minullina berkata Russia melihat peluang untuk meningkatkan hubungan ekonomi dengan Malaysia, terutamanya dalam pembuatan jentera, kerjasama perindustrian dan pertanian.
Pada 2024, Russia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah perdagangan mencecah RM11.46 bilion.
Eksport utama Malaysia ke Russia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti dan makanan diproses.
Import dari Russia pula merangkumi produk petroleum, mineral dan kimia serta produk berasaskan kimia.
Minullina juga berkata penyertaan ASEAN di KazanForum semakin ketara, ketika Tatarstan berusaha untuk memperkukuh hubungan perniagaan dengan Asia Tenggara menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Jun tahun ini.
Republik itu sedang berusaha meletakkan dirinya sebagai pintu masuk strategik bagi perniagaan ASEAN yang mencari akses ke pasaran Russia.
Sementara itu, program perniagaan KazanForum 2026 merangkumi sektor termasuk kerjasama antarabangsa, pelaburan dan kewangan Islam, pengeluaran halal, industri, pengangkutan, pelancongan, perubatan, pendidikan, kebudayaan, sukan, keusahawanan belia, agenda wanita dan media.
Forum itu turut melibatkan kumpulan kerja yang memberi tumpuan kepada pelancongan di bawah Suruhanjaya Antara Kerajaan Malaysia-Russia, anjuran Kementerian Ekonomi Russia.
Dalam pada itu, forum itu berjaya menarik hampir 25,000 peserta berdaftar tahun ini dan berperanan sebagai platform utama yang menghubungkan Russia dengan ekonomi Islam di seluruh Asia, Asia Barat dan Afrika.
-- BERNAMA