AM

Sarawak Kenal Pasti 15,000 Hektar Tanah Untuk Penanaman Padi

13/05/2026 03:14 PM

KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak telah mengenal pasti kira-kira 15,000 hektar tanah yang berpotensi besar untuk penanaman padi secara komersial, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben.

Beliau berkata setakat ini, sejumlah 6,176 hektar tanah telah diluluskan oleh Pasukan Petugas Padi dan Beras Sarawak untuk dijalankan penanaman berkenaan.

“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 2,325.32 hektar tanah negeri ini telah diwartakan sebagai kawasan khas penanaman padi,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Miro Simuh (GPS-Serembu) yang ingin tahu mengenai strategi jangka panjang keterjaminan makanan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan sejauh mana keberkesanannya.

Martin berkata negeri itu menyasarkan tahap sara diri beras sebanyak 60 peratus menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2023 (PCDS 2030).

“Untuk pembangunan industri padi dan beras, kemajuan yang dicapai adalah menggalakkan dengan disokong oleh inisiatif berterusan seperti pewartaan kawasan penanaman padi, pembangunan infrastruktur pengairan yang lengkap, penggunaan benih padi hasil tinggi serta promosi teknologi digital,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556396