KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk beras dari negara jiran gagal selepas lori dipandunya ditahan polis di persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga Felda Papulut, Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Pasukan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman SAC Datuk Mohd Zaki Ashar berkata warga tempatan berusia 41 tahun itu ditahan pada 6 pagi.
Beliau berkata dalam Ops Taring Bravo 4 itu, pihak polis merampas 300 guni beras seberat 15,000 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM69,000 yang dipercayai dibawa masuk menggunakan laluan tidak sah.
"Hasil semakan mendapati pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan pemilikan kesemua beras tersebut.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM184,000 merangkumi nilai beras serta sitaan sebuah lori jenis Nissan UD berserta anak kunci," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Zaki berkata operasi itu berjaya memutuskan aktiviti rangkaian penyeludupan beras tidak bercukai serta mengekang kemasukan beras melalui jalan tidak sah.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Agensi Kawal Selia Padi dan Beras negeri Perak untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
-- BERNAMA