AM

SejaTi MADANI: Ternakan Ayam Kampung Kacukan Dapat Permintaan Tinggi

13/05/2026 02:14 PM

JERTIH, 13 Mei (Bernama) -- Langkah berani sekumpulan penduduk di Kampung Padang Luas Dalam di sini mengusahakan ternakan ayam kampung kacukan membuahkan hasil apabila memperoleh pendapatan kira-kira RM120,000 sepanjang tahun lepas.  

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Padang Luas Dalam Mohd Darus Ismail berkata projek di bawah inisiatif SejaTi MADANI itu juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung. 

Beliau berkata projek itu bermula Januari tahun lepas menggunakan geran daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100,000 dan diusahakan 13 peserta yang memilih penternakan ayam kampung kacukan setelah menyedari potensi besar ternakan tersebut selain tidak ramai yang mengusahakannya.  

“Kami dapati kebanyakan yang memohon peruntukan SejaTi MADANI di Besut menjalankan penternakan ikan dan kambing. Keputusan memilih ternakan ayam kampung kacukan dikuatkan selepas melihat kejayaan seorang penternak ayam sama di Kampung Tembila (di sini),” katanya kepada Bernama.   

Mohd Darus berkata reban yang dibina peserta dibahagikan kepada lima blok dengan setiap blok mampu menempatkan 400 ekor ayam yang diternak secara berperingkat bagi setiap pusingan, dan projek itu kini sudah memasuki lima pusingan.

“Ayam diternak sehingga berusia 50 hari dan dijual pada harga antara RM13 hingga RM14 sekilogram dan meraih pulangan kasar kira-kira RM12,000 sebulan,” katanya dan menambah ternakan itu dibekalkan kepada beberapa kedai makan di sekitar Jertih.

Mohd Darus berkata berikutan permintaan yang tinggi, ada kalanya peserta projek terpaksa mendapatkan bekalan ayam kampung kacukan daripada penternak persendirian di sekitar Besut. 

Sebelum memperoleh kejayaan, beliau berkata mereka menghadapi pelbagai cabaran seperti masalah pasaran dan pengurusan sehingga pernah terpaksa menghantar sendiri bekalan ayam ke Kuala Lumpur untuk dijual kerana belum mempunyai pelanggan di sekitar Besut pada awal pelaksanaan projek.  

“Alhamdulillah, sekarang ayam kami semakin mendapat permintaan terutama daripada penduduk setempat. Hasil yang diperoleh digunakan untuk pusingan modal dan gaji pekerja manakala sebahagiannya disalurkan kepada pengurusan kampung. 

“Wang itu digunakan untuk manfaat penduduk seperti bantuan makanan dan sebagainya untuk mereka yang memerlukan. Sekiranya keuntungan meningkat lagi selepas ini, lebih banyak aktiviti kebajikan serta sosial penduduk dapat dijalankan,” katanya.  

 Mohd Darus berkata mereka juga bercadang untuk menambah bilangan reban bagi meningkatkan jumlah ternakan ayam untuk menampung permintaan pasaran dan seterusnya meraih lebih keuntungan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2556353