SHAH ALAM, 12 Mei (Bernama) -- Seorang penuntut sebuah universiti awam hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang anggota polis di Jalan Jubli Perak, minggu lepas.
Muhammad Harith Mohd Khalid, 27, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Koperal Wong Soon Sing, yang ketika itu sedang menjalankan tugas rasminya, pada 1.20 pagi 6 Mei lepas mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam M. Partiben dan Mohd Safwan Saleh memohon jumlah minimum atas alasan anak guam mereka masih belajar serta ditanggung oleh ibu bapa yang hanya bergantung kepada wang pencen.
“Tertuduh juga tinggal di Banting dan saya percaya risiko untuk melarikan diri boleh diketepikan... dia juga berjanji untuk hadir ke mahkamah pada prosiding akan datang,” kata Partiben.
Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman kemudian membenarkan Muhammad Harith diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun depan sebagai sebutan semula kes.
-- BERNAMA