JENAYAH & MAHKAMAH

Kapal Korek Bawa Muatan Berlebihan, 10 Kru Warga Asing Ditahan APMM Pulau Pinang

12/05/2026 02:08 PM

GEORGE TOWN, 12 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal korek disyaki membawa muatan pasir berlebihan di perairan Tanjung Tokong semalam.

 Pengarah APMM Pulau Pinang Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kapal itu ditahan hasil maklumat risikan pada 11.30 malam oleh bot ronda agensi itu ketika sedang berlabuh kira-kira 1.0 batu nautika di timur laut Tanjung Tokong.

 “Pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan 17 kru warga asing terdiri daripada warga Indonesia dan China berusia antara 32 hingga 52 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah dan disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata selain membawa muatan melebihi kapasiti, pemeriksaan turut mendapati terdapat individu di atas kapal yang tidak tersenarai dalam daftar kru rasmi, selain berlaku cubaan memberi suapan kepada penjawat awam serta cubaan menghalang tugas pihak berkuasa ketika pemeriksaan dijalankan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata 10 daripada 17 kru kapal berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat APMM negeri untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta SPRM 2009 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2555930