Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Ketika Kuala Lumpur terus berkembang pesat sebagai sebuah bandar raya yang bergerak pantas, ruang hijau awam semakin diberi interpretasi semula sebagai lokasi untuk berkongsi pengalaman budaya yang melangkaui sekadar aktiviti rekreasi.
Usaha itu dapat dilihat melalui konsert “CIMB Moving KL Forward Kita Bagi Jadi At The Park” di Panggung Anniversari Taman Botani Perdana pada 23 Mei, yang menggabungkan muzik, teater, puisi serta visual arkib dalam sebuah program kebudayaan yang bertujuan mendekatkan warga kota kepada seni, sejarah dan antara satu sama lain.
Inisiatif itu yang dianjurkan oleh Kumpulan CIMB dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menghidupkan ruang awam di ibu negara melalui program kebudayaan yang berfokuskan komuniti.
Ketua Bahagian Muzik, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL Dr Isabella Pek berkata program berteraskan seni dan budaya terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara bandar raya dan penduduknya, di samping menjadikan seni lebih mudah diakses dalam kehidupan seharian di bandar.
pic-2
“Bagi program seperti ini khususnya, ia amat bermakna kepada kami kerana ia menghubungkan bandar raya, menghubungkan muzik dan menghubungkan warga kota,” katanya semasa sesi bersama media baru-baru ini.
Berbanding format konsert konvensional, program itu akan berlangsung sebagai pengalaman budaya berlapis yang menampilkan persembahan muzik secara langsung bersama penceritaan teater, puisi serta naratif visual yang diambil daripada arkib sejarah.
Teras program adalah mengimbau semula kehidupan dan legasi Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, melalui interpretasi seni yang bertujuan memperkenalkan kepimpinan dan nilai beliau kepada generasi muda.
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB Toni Darusman berkata program itu juga akan mengetengahkan aspek yang kurang diketahui mengenai zaman muda Tun Razak, termasuk keberanian dan semangat kepimpinannya.
pic-3
“Ramai orang mengenali Tun Razak sebagai Bapa Pembangunan, tetapi ketika muda, beliau sebenarnya sudah pun seorang yang bagi saya sangat bijak dan sangat berani. Kami mahu menonjolkan semangat dan keberanian beliau melalui program ini,” katanya.
Persembahan pada malam itu akan menampilkan penyanyi Aina Abdul, Asmidar, Haziq Rosebi, Izen Kong dan Nadia Aqilah bersama kira-kira 120 penggiat kebudayaan DBKL serta Orkestra Kuala Lumpur.
Sebelum program utama bermula pada 8.40 malam, pengunjung juga berpeluang menyertai lawatan berpandu di taman serta sesi perbincangan santai bertajuk “Mengenali Razak” yang menampilkan tokoh budaya Eddin Khoo, sekali gus menawarkan permulaan malam yang lebih reflektif.
-- BERNAMA